Alhamdulillah, luahan pendapat sebegini secara langsung menggambarkan corak pemikiran dan kesedaran dalam kalangan pengguna terus positif terhadap kepentingan pensijilan halal bagi produk dan premis di pasaran.

KERATAN Utusan Malaysia 2 Februari 2019.
KERATAN Utusan Malaysia 2 Februari 2019. 

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi hari ini amat memudahkan pengguna meluahkan pandangan serta menyebar luas apa jua isu dengan senang serta pantas.

Namun menjadi tanggungjawab kita semua dalam memastikan kesahihan berita yang diterima dan hendak disambung sebar dengan cara merujuk kepada pihak berautoriti agar tidak turut terlibat dalam aktiviti penyebaran maklumat palsu.

Menyusuri arus perdana, sejak 2016 lagi, Jakim melalui Bahagian Hab Halal telah turut membangunkan laman Facebook Bahagian Hab Halal Jakim di samping akaun Twitter serta Instagram. Ia adalah medium untuk penyebaran maklumat serta menyediakan tempat rujukan kepada setiap isu yang tular dalam media sosial.

Malah Jakim turut menubuhkan pasukan petugas khas halal yang diberi tanggungjawab menjawab setiap persoalan pengguna berkaitan isu halal dengan sasaran maklum balas disediakan dalam tempoh empat jam dari penularan bermula.

Sehingga hari ini, terdapat 67 jawapan isu semasa yang tular telah dimuat naik di laman Facebook Bahagian Hab Halal iaitu www.facebook.com/HabHalalJakim/ yang boleh menjadi rujukan pengguna sebagai sumber yang sahih.

Di samping itu, laman-laman sosial ini juga dijadikan media penyebaran maklumat terkini kepada masyarakat seperti maklumat badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf, kenyataan media, ilmu halal semasa serta soalan lazim mengenai halal.

Justeru, pengguna di Malaysia perlu bersikap tabayyun (lakukan kaji selidik mengenai sesuatu perkara) sebelum menyebarkan semula maklumat yang diterima agar tidak turut bersama menjadi penyebar berita tidak benar dengan merujuk kepada kemudahan media sosial yang disediakan oleh pihak Jakim.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JAKIM
Putrajaya