Kami telah menerima banyak aduan mengenai kedai arak tersebut meletakkan meja di sepanjang jalan untuk pelanggan yang mengunjungi kedai mereka.

Meja-meja ini diletakkan jauh melebihi jarak premis kedai mereka dan menceroboh ruang kawasan kejiranan mereka iaitu di hadapan premis perniagaan lain yang telah ditutup pada hari tersebut.

Penduduk, pemilik perniagaan dan pekerja pejabat di kawasan Little India menyuarakan rasa tidak senang mereka dengan suasana waktu ‘bergembira’ ini di kawasan terbuka selepas waktu bekerja.

Tingkah laku yang sukar dikawal dipamerkan pengunjung kedai arak tersebut menjadikan kawasan itu tidak selamat untuk penduduk dan pekerja di kawasan itu.

Bukan hanya di kawasan Little India, masalah ini juga turut berlaku di sepanjang Lebuh Chulia di mana banyak kedai jenis ‘bistro’ yang mengiklankan diskaun untuk bir dan menjual pelbagai arak jenis lain.

Konsep kedai ini dibuka untuk memenuhi keperluan pelancong asing yang datang ke sini untuk bercuti terutama sekali pekerja asing.

Bagaimanapun, kami ingin mengingatkan pihak berkuasa bahawa kesejahteraan mental dan fizikal penduduk tempatan adalah lebih penting dan perlu diutamakan.

Kita juga perlu ingat bahawa kedai arak ini dibuka di kawasan yang berdekatan dengan Lebuh Harmoni yang dibarisi Gereja St. George, Kuil Kuan Imm, Kuil Sri Mahamariamman dan Masjid Kapitan Keling.

Ini semua adalah tempat beribadat dan mereka yang berada di kawasan sekelilingnya seharusnya mempamerkan tingkah laku penuh hormat dan sopan, bukannya mabuk dan bertindak tidak sopan.

Pihak yang meluluskan lesen kedai arak tersebut sepatutnya memeriksa terlebih dahulu lokasinya sebelum memberi kebenaran mereka menjual arak.

Di sesetengah negara Barat yang pengambilan alkohol adalah budaya harian mereka, penduduk tidak dibenarkan membuka bekas (tin, botol atau gelas) minuman alkohol di ruang terbuka atau dalam kenderaan.

Mengambil kira kepentingan orang awam, CAP menggesa kedai arak yang beroperasi di Little India hendaklah ditutup demi menjaga kesejahteraan penduduk dan pekerja di kawasan itu.

Kami tidak mahu kejadian seperti rusuhan Little India di Singapura pada 2013 yang melibatkan ramai perusuh mabuk berlaku di negara kita.

 

S.M MOHAMED IDRIS

Presiden CAP