Syabas juga kepada para penyokong yang bertandang ke sana selain kerjasama strategik AirAsia dengan menyediakan pesawat khas.

Dalam pada itu, saya menyokong arahan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang akan mengambil tindakan tegas terhadap ulat tiket, mereka yang membuang sampah dan perokok di dalam stadium.

Saya menganggap mereka bukannya penyokong Harimau Malaya tetapi mencalarkan imej bola sepak tempatan yang merupakan sukan nombor satu di negara ini.

Perokok tegar misalnya menunjukkan teladan buruk apabila asap yang dikeluarkan mengganggu tumpuan penonton semasa perlawanan selain mengotorkan persekitaran stadium.

Selain KBS dan anggota keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, saya amat berharap anggota penguat kuasa Kementerian Kesihatan, pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta pengurusan stadium sama-sama turun padang memantau situasi menjelang perlawanan pada Selasa ini di dalam dan luar stadium.

Ini bagi memastikan mereka yang suka membuang sampah, merokok serta ulat tiket dikenakan tindakan mengikut saluran perundangan sedia ada.

Sudah tiba masanya bagi meningkatkan mutu bola sepak negara, kita perlukan penyokong yang bertanggungjawab seperti mana di Jepun yang tidak mencemarkan imej stadium.

Sekiranya mereka mendakwa penyokong sejati Harimau Malaya, sepatutnya mereka memberi teladan yang baik kepada masyarakat termasuk menjaga kebersihan stadium, tidak merokok serta berdisiplin.

HARIMAU KUMBANG

Putrajaya