KAEDAH ejen pemungut hutang melaksanakan tugas adalah mirip cara ah long yang sering bertindak ganas termasuk menyimbah cat merah di rumah peminjam. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Bagaimanapun, saya mendapati kebanyakan ejen pemungut hutang cenderung menggunakan cara yang tidak berapa baik bagi memaksa peminjam membayar hutang mereka.

Mereka bukan sahaja mendesak dan mengganggu peminjam, malah turut menjadikan ahli keluarga dan rakan-rakan sebagai mangsa.

Kaedah ejen melaksanakan tugas lebih mirip kepada cara ah long yang diketahui banyak pihak sering bertindak ganas termasuk menyimbah cat merah di rumah peminjam.

Saya berharap pihak berkuasa memantau gelagat ejen berkenaan.

Baru-baru ini, saya mengalami sendiri gelagat ejen pemungut hutang yang mengugut untuk meminta pihak berkuasa menangkap dan menyita kediaman milik saya.

Bila membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh, saya dimaklumkan bahawa perbuatan ejen itu adalah tindakan komersial dan tidak dianggap mempunyai unsur-unsur ugutan jenayah selagi tidak diugut bunuh.

Ini bermakna ejen pemungut hutang bebas melakukan apa yang mereka suka terhadap peminjam tanpa takut dikenakan tindakan undang-undang.

Saya berharap kerajaan meminda peruntukan undang-undang sedia ada untuk mengawal tindak-tanduk ejen pemungut hutang berkenaan.

KAMARUDDIN JAAFAR

Bukit Katil, Melaka