Tindakan tegas itu memang patut dikenakan bagi memastikan sasaran penubuhan KR1M untuk mengurangkan beban perbelanjaan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah yang menetap di kawasan bandar dapat dicapai.

Setakat ini, terdapat 185 cawangan KR1M di seluruh negara yang menjual 250 barangan keperluan harian dengan harga sepatutnya 30 hingga 50 peratus lebih murah berbanding kedai atau pasar raya lain.

Sebenarnya, isu harga barangan KR1M dijual lebih mahal bukanlah perkara baharu kerana pernah dibangkitkan pelbagai pihak pada 2014.

Pihak-pihak berkenaan mempertikaikan bagaimana KR1M yang mendapat subsidi antara RM471,000 hingga RM1.53 juta bagi setiap kedai, menjual barangan lebih mahal daripada harga pasaran.

Ketika KR1M mula diperkenalkan pada 2011 turut timbul dakwaan barangan dijual tidak berkualiti dan mengandungi bahan kimia berbahaya.

Sehubungan itu, saya berharap kerajaan meningkatkan pemantauan terhadap program-program bagi membantu golongan berpendapatan rendah termasuk KR1M agar tidak hanya cantik dalam kertas kerja tetapi bermasalah dari segi pelaksanaan.

Dengan adanya pemantauan secara lebih kerap, masalah dan kelemahan dapat dikenal pasti lebih awal serta langkah pembetulan dapat dibuat dengan segera.

Dalam pada itu, saya menyambut baik reaksi pengendali KR1M, Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin) yang menyatakan akan akur sekiranya kerajaan mahu menamatkan kontrak syarikat itu.

Antara alasan yang diberikan oleh Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin yang menyebabkan ada barangan di kedai itu dijual dengan harga lebih tinggi kerana tekanan ekonomi dan terpaksa menanggung pelbagai kos logistik.

Bagi saya alasan yang diberikan oleh Ameer itu ada kebenarannya kerana berdasarkan pengalaman membeli-belah di pasar raya Mydin, harga barangan yang dijual di situ sekarang telah meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya tetapi tidaklah setinggi dijual di pasar raya lain.

Peningkatan harga yang minimum itu menyebabkan Mydin masih mencatatkan kerugian sebelum cukai sekitar RM170 juta bagi tahun kewangan berakhir Mac 2016 atas beberapa faktor termasuk kejatuhan nilai ringgit sehingga menyebabkan barangan diimport menjadi lebih mahal.

Bagi memastikan pengendali baharu KR1M tidak menghadapi tekanan ekonomi sama seperti Mydin, kerajaan perlu mengubah format pasar mini itu termasuk meniru kaedah pelaksanaan kedai runcit, Wakaf Mart yang diwujudkan oleh Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

Kedai runcit yang didirikan di kawasan masjid terpilih atau di atas tanah wakaf strategik menyediakan barangan keperluan harian dengan harga tidak terlalu mahal.

Selain itu, mungkin sudah sampai masanya KR1M dikendalikan oleh satu konsortium dianggotai syarikat milik kerajaan (GLC) yang memberikan sumbangan wang dan pekerja atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR).

HASNUDIN JAMIL

Rawang, Selangor