Cuba perhatikan tahap kebersihan di restoran-restoran makanan segera, bagaimana pengusaha-pengusaha restoran terlibat begitu mementingkan kebersihan di premis mereka. Saya kira ini bukan satu hal tersembunyi sebaliknya masyarakat umum maklum tentang isu tersebut.

Saya sendiri pernah ternampak seorang pembantu kedai di sebuah restoran yang baru keluar dari tandas terus sahaja mencanai tepung sebaik sahaja diberitahu rakan sekerjanya yang mengambil pesanan pelanggan. Itu belum lagi kita melihat keadaan dapur yang digunakan untuk memasak.

Isu ini sepatutnya dipandang serius oleh pihak berkuasa sama ada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan mahupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana kesannya kepada rakyat negara ini amat buruk jika tidak ditangani dengan segera lebih-lebih lagi dari sudut kesihatan.

Jangan nanti setelah berlaku krisis kesihatan gara-gara kegagalan pihak berkuasa barulah mereka mahu mengambil tindakan sewajarnya terhadap restoran-restoran seumpama ini. Mahu tidak mahu unit penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu lebih agresif.

Selain dalam konteks kesihatan, DBKL juga perlu memeriksa lesen perniagaan mereka bagi memastikan siapakah pemilik restoran-restoran tersebut. Kita tidak mahu warga asing yang menjadi pemiliknya.

Justeru, DBKL tidak boleh mengambil isu ini sambil lewa walaupun terdapat tanggapan bahawa masalah tersebut tidak begitu kritikal. Realitinya, ini berkaitan soal kesejahteraan hidup rakyat.

Yang pasti aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk khususnya di ibu kota terletak sepenuhnya di bawah tanggungjawab DBKL. Sehubungan itu, DBKL dengan kerjasama pihak berwajib berkaitan mesti menggempur mana-mana restoran yang kotor dan tidak mengamalkan sanitasi kebersihan seperti ditetapkan.

Saya juga ingin mencadangkan agar pihak berkuasa tidak lagi membenarkan restoran 24 jam beroperasi. Bukankah Islam sendiri menuntut para umatnya bersederhana apatah lagi dengan penciptaan malam untuk kita berehat.

Buat permulaan letakkan peraturan agar semua restoran dibenarkan dibuka sehingga pukul 1 atau 2 pagi sahaja. Esoknya pukul 6 pagi baru dibenarkan beroperasi. Hidup mesti dilingkungi batas serta peraturan dan tidak terkecuali pengusaha-pengusaha restoran.

Mereka menjual makanan halal dan baik. Sepatutnya mereka lebih peka dan lebih menghormati tuntutan Allah supaya tidak melampaui batas dalam semua perkara.

Kawalan terhadap waktu operasi restoran 24 jam ini amat penting bagi membentuk disiplin masyarakat kita dalam pengambilan makanan. Kita tidak mahu masyarakat terus terdedah kepada pelbagai penyakit akibat makan di luar waktu.

Kewujudan restoran-restoran sebegini juga menggalakkan anak-anak muda kita berpeleseran atau melepak sehingga subuh. Bukankah ini sesuatu yang tidak sihat dan tidak produktif? Bayangkan keesokannya mereka perlu bersekolah atau bekerja. Bagaimana agaknya tahap kecergasan mereka? Pasti mereka mengantuk dan tidak fokus dalam setiap perkara yang dilakukan.

Operasi kedai makan sehingga 24 jam turut dibimbangi merosakkan imej Malaysia kerana cenderung menyumbang kepada peningkatan jumlah rakyat yang mengalami masalah penyakit seperti obesiti dan jantung.

Sebahagian besar negara maju, operasi restoran di negara-negara berkenaan ditutup awal bagi memastikan rakyat mereka mendapat rehat secukupnya sekali gus mampu mengekalkan kecergasan untuk meneruskan kehidupan seharian pada keesokannya.

MOHD. ARIF YAHYA

Kampung Baru, Kuala Lumpur