Sehubungan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ingin menafikan kenyataan tersebut dan menegaskan bahawa JAIS sentiasa mengguna pakai peraturan yang telah ditetapkan dalam Garis Panduan Khas Pencalonan Pegawai Masjid dan Pemilihan Anggota Jawatankuasa Masjid dan Surau Negeri Selangor.

Antara peraturan tersebut menyatakan: “Jika dia beragama Islam, dan warganegara Malaysia... serta lain-lain syarat”.

Sebagai makluman, ketika ini terdapat seramai 844 imam di 421 buah masjid di Selangor telah menerima Watikah Pelantikan Imam yang disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Selain itu, seramai 2,015 imam di 2,015 buah surau telah menerima Watikah Pelantikan yang disampaikan oleh Setiausaha atau Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Kesemua imam ini adalah warganegara Malaysia dan telah mendapat kelulusan serta pengesahan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor (JATUMS).

JAIS berpendapat aduan tersebut adalah bersifat tuduhan tanpa fakta sebenar. Tidak dinafikan bahawa terdapat kes-kes terpencil dan terkawal iaitu ahli jawatankuasa masjid atau surau melantik imam rawatib (tambahan) dalam kalangan warganegara asing tanpa kebenaran dan kelulusan JAIS dan MAIS.

Namun begitu, pemantauan terhadap kes-kes seperti ini sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa oleh JAIS.

Dalam hal ini, JAIS sentiasa mendukung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang mengutamakan imam dan bilal tempatan berbanding warganegara asing.

Sehingga kini, JAIS sentiasa mengemaskini arahan dan pekeliling berkaitan keutamaan pelantikan imam warganegara Malaysia dan memberi kerjasama kepada mana-mana pihak yang berkelayakan serta mematuhi syarat-syarat pelantikan sebagai imam.

AZLINDA AZMAN

Timbalan Pengarah JAIS