Terlebih dahulu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengucapkan terima kasih atas maklum balas yang dikemukakan oleh pengadu.

Kami menghargai maklum balas sebegini dan memerlukan lebih ramai lagi pengguna lebuh raya yang prihatin untuk memaklumkan kepada kami berkenaan adanya halangan atau objek di atas lebuh raya.

Kami juga mengambil peluang ini untuk sekali lagi menyatakan komitmen PLUS untuk menangani isu objek di atas lebuh raya demi keselamatan pengguna lebuh raya.

Ini termasuklah memastikan pasukan PLUSRonda dan Edgenta Propel Berhad mengalihkan objek di atas lebuh raya dengan kadar segera sebaik sahaja mendapat maklumat daripada pengguna lebuh raya.

Berdasarkan rekod kami, kira-kira 22,000 objek merangkumi serpihan tayar, kayu, besi, barangan plastik, batu dan lain-lain dikesan terjatuh dan telah dialihkan oleh PLUS di sepanjang lebuh raya kendalian kami pada 2015.

Kajian kami mendapati, kebanyakan objek yang terjatuh di lebuh raya berpunca daripada kegagalan pemandu kenderaan berat memastikan muatan yang dibawa adalah stabil dan selamat. Selain itu, kami turut mendapati serpihan tayar pecah menjadi antara objek utama yang ditemui di lebuh raya.

Pihak kami menasihatkan orang ramai yang terlihat sebarang objek atau halangan di atas lebuh raya supaya terus menghubungi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000 bagi membolehkan pasukan PLUSRonda mengalihkan objek tersebut.

MOHD. NIZAM ISMAIL

Ketua Komunikasi 
Strategik PLUS