Ini berpandukan cara dan kaedah pemimpin dan rakyat Jepun membina kembali negara mereka dari sebuah jajahan yang boleh dikategorikan menuju kehancuran selepas kekalahan Perang Dunia Kedua pada 1945, kini menjadi negara kedua termaju di dunia selepas hanya beberapa dekad.

Satu pencapaian yang begitu menakjubkan dan semua itu disebabkan sikap dan semangat orang Jepun sendiri serta semangat kecintaan kepada negara mendorong mereka bekerja bersungguh-sungguh dengan penuh dedikasi, disiplin tinggi malah kental menghadapi segala bentuk cabaran untuk berjaya.

Apabila Dasar Pandang ke Timur diperkenalkan buat pertama kalinya 37 tahun lalu, rakyat Malaysia terutama sekali penjawat awam agak terpinga-pinga dan tidak mampu mengikuti cara yang diperkenalkan.

Untuk memastikan Dasar Pandang ke Timur 2.0 ini tidak gagal, kita mestilah tukar sikap daripada malas menjadi rajin dan mempunyai daya semangat untuk bekerja kuat terutama sekali bermula dengan membuang sifat ego pemimpin dan ketua-ketua jabatan atau pun organisasi.

Golongan ini hanya suka memberi arahan tanpa melibatkan diri bersama pekerja di bawah, enggan menjaga mahupun mengambil berat tentang kebajikan orang bawahan.

‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, seperti mana yang dipraktikkan oleh ketua-ketua atau pun pemimpin Jepun yang percaya bahawa disiplin, kejujuran, sikap tolak ansur dan perasaan kasih sayang sesama insan kunci kejayaan apabila menjalankan sesuatu pekerjaan.

Pastikan kita bukannya masyarakat yang membudayakan sikap suka menadah tangan dan bermindakan subsidi sepanjang masa. Berdirilah di atas kaki sendiri dengan penuh maruah.

Pastikan segala bentuk rasuah dan penyelewengan, tidak jujur dan kemalasan dibanteras. Tukarkan sahaja ketua-ketua jabatan yang kurang aktif serta mereka yang disyaki terlibat dengan rasuah atau kurang berdisiplin kepada mereka yang lebih aktif dan berwibawa.

Pupuk semangat patriotik dengan ditambah amalan sifat jujur, amanah, rajin, mempunyai disiplin tinggi dan sukakan kebersihan sejak dari kecil lagi. Ia bermula di rumah dan seterusnya di sekolah sebelum didedahkan di luar nanti. Kita tidak mahu gagal lagi dan jangan kecewakan Dr. Mahathir buat kali kedua.

 

SYED ABDULLAH OSMAN

Ampangan, Seremban