Seseorang yang dikatakan bijak pandai biasanya mampu menempelak mereka yang mengeluarkan soalan bodoh.

Bagi yang tidak bijak pandai pula, paling tidak, bersedialah dengan sedikit pembacaan awal sebelum mengemukakan soalan dan tidak perlu malu jika mahukan jawapan yang baik.

Namun, senario masa kini, ramai pula bijak pandai dikategorikan sebagai bodoh sombong, tambahan dengan jawatan, gelaran dan kedudukan yang mereka pegang.

Dalam sebarang perbincangan, pastinya kita akan memperoleh jawapan dipersetujui dan juga keputusan yang tidak menyebelahi.

Kita harus bersetuju dengan pendapat bahawa kita mempunyai kepercayaan sendiri yang mana tiada siapa boleh menukar fikiran. Begitu juga dengan pandangan mereka yang kita tidak boleh sesuka hati meminta mereka bersetuju.

Saya percaya ini merupakan salah satu perbezaan di antara seorang yang bijak dengan seorang yang pandai.

Walaupun seorang pendidik dikatakan bijak (melalui kelulusan, kelayakan dan pengalaman) dan pelajar dikatakan pandai (kebanyakan pelajar saya adalah pelajar terpilih), ini juga merupakan perbezaan di antara bijak dan pandai, namun kepintaran ini akan teruji apabila sampai ke tahap pemikiran lebih tinggi.

Kita juga sering mendengar, ibu bapa memuji anak-anak mereka adalah pandai tapi tidak bijak. Ungkapan bijak biasanya dikaitkan kejayaan. Jika anda membesar secara bijak, sayugia anda berjaya dalam kerjaya dan kehidupan kelak.

Bagi anak-anak yang memang dari kecil sudah merasa kesusahan, contohnya kehilangan tempat bergantung hidup; berada di merata tempat kerana mengikuti ibu bapa yang berpindah kerja; terpaksa bekerja membantu mencari pendapatan di awal usia, namun masih berjaya melanjutkan pendidikan di institusi terpilih.

Pencapaian pembelajarannya tentu akan sedikit terjejas, dan adakah keadaan sedemikian menyebabkan mereka tidak boleh dikatakan bijak?

Bolehkah atau tidak seseorang menjadi bijak? Anda mungkin pernah berjumpa dengan seseorang yang sarat pengetahuan mengenai sukan tetapi dia bukan seorang ahli sukan; atau seseorang yang mempelajari bidang agama tetapi tidak mengamalkan doktrin dipelajari dalam bidang tersebut. Mereka ini mungkin pintar tetapi tidak bijak.

Kita sering bertemu orang yang pintar dalam kehidupan kita, malangnya mereka melepaskan peluang untuk meletakkan diri dalam situasi di mana mereka akan berkembang pada kadar lebih cepat.

Kadang-kadang meletakkan diri dalam situasi di mana kita tidak pernah berada sebelumnya memberi kita kuasa dan keupayaan untuk berkembang pada kadar yang tidak pernah ada sebelum ini.

Ia seolah-olah memberi peluang menimba sepuluh tahun pengalaman dalam tempoh enam bulan yang membawa kepada kebijaksanaan.

Pengalaman adalah satu kelebihan yang hebat. Masalahnya ialah apabila mendapat pengalaman itu, kita sudah terlalu tua untuk melakukan apa-apa.

Tidak ada keraguan bahawa sebahagian besar kebijaksanaan datang bersama pengalaman, tetapi salah satu formula paling penting untuk memperoleh kebijaksanaan adalah berada bersama dengan orang yang lebih bijak daripada kita.

AZIZI AHMAD
Kuala Lumpur