Pada zaman dahulu orang tua-tua sering menyebut dan berbahasa dengan menggunakan perkataan cerdik pandai. Kenapa cerdik didahulukan daripada pandai. Secara ringkasnya bila seseorang itu mempunyai kelulusan tinggi dalam pelajaran masyarakat beranggapan bahawa seseorang itu memang pandai dalam bidang yang dipelajari tetapi sebaliknya belum tentu yang pandai itu dianggap cerdik.

Cerdik secara asasnya bagaimana seseorang itu mengolah ilmu yang ada ketika menjalankan tugas dan berbicara. Dari situasi tersebut, baru kita boleh membuat tanggapan seseorang itu hanya pandai sahaja, atau hanya cerdik sahaja tetapi tidak pandai atau sememangnya tergolong dalam kelas 'cerdik dan pandai'.

Memetik daripada satu laporan berita di Utusan Malaysia (17/8/2018) menyatakan majikan daripada industri perkhidmatan kewangan Malaysia (FSI) mendapati graduan tempatan hari ini tidak bersedia untuk berkecimpung di dalam segmen berkenaan.

Dapatan daripada Kajian Institut Kewangan Asia (AIF) mendedahkan majikan tidak dapat mencari individu dengan kemahiran yang betul untuk mengisi kekosongan jawatan.

Sementara itu, Pengarah Strategi, Pembangunan Dasar dan Penyelidikan AIF, Jaya Kohli berkata, kajian berkenaan bertujuan menangani jurang bakat dalam FSI dan bercadang pendekatan holistik serta bersepadu dari semua pihak berkepentingan.

Terdapat keperluan memperbanyakan insiatif bagi meningkatan kemahiran insaniah (soft skill) seperti kepimpinan, penyelesaian masalah, kemahiran perniagaan dan keusahawanan serta peningkatan dalam pembelajaran berterusan.

Maka untuk proses ini, Model Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan (Work Based Learning) patut diberi ruang dalam sistem pembelajaran negara.

Menyentuh kepada masalah isu hutang negara dan pelbagai masalah projek, kita sebenarnya berhadapan dengan Menteri Kewangan yang begitu 'pandai' membuka pekung kerajaan terdahulu tetapi beliau kurang cerdik atau tidak cerdik langsung dalam menyelesaikan masalah.

Tiada jalan keluar masalah yang di hadapan tetapi membuka isu untuk pengadilan awam atau sengaja mewujudkan isu demi isu untuk melindungi kegagalan sebagai Menteri Kewangan semata-mata mencari populariti.

Lebih-lebih lagi beliau terpalit dengan isu rasuah yang sama dengan kes bekas menteri besar Selangor. Mungkinkah kesnya akan dimansuhkan?

Menurut Presiden Akademik Sains Malaysia (ASASI), Profesor Datuk Ir. Dr. Wan Ramli, beliau mempersoalkan perlantikan tokoh-tokoh pendidikan oleh Menteri Pendidikan dalam Majlis Penasihat Pendidikan (MPPK) selaras dengan Peruntukan Seksyen 10, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Peraturan Pendidikan (MPPK) 2012.

Malangnya menuruf Dr. Wan Ramli, yang dilantik adalah tokoh hiasan pewter (keturunan Cina), suri rumah berlagak sebagai pendidik, (mungkin pendidik pencen) dan seorang profesor ekonomi.

Maka jelaslah tokoh-tokoh ini akan memberi nasihat di luar bidang mereka dan apakah negara ketandusan cerdik pandai dalam bidang pendidikan?

Begitu juga melantik Yang Berhormat (YB) yang kurang pengalaman dalam bidang TVET sebagi pengerusi atau penasihat? Di sini dapat digambarkan bahawa yang pandai itu bukan cerdik dan yang cerdik itu bukan pula pandai seperti Menteri Pertahanan.

Sebagai seorang pensyarah yang berkelulusan PhD buatlah kerja yang menunjukkan anda cerdik dan pandai serta bukan ikut telunjuk orang yang cerdik tetapi kurang pandai.

Sama-sama kita sebagai rakyat Malaysia memerhatikan apa akan berlaku selepas ini dan berfikirlah secara mendalam.

ZULKAS

Ayer Baloi, johor