Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Orang muda celaru budaya

SAUDARA PENGARANG, KEBELAKANGAN ini kita dibanjiri dengan kisah-kisah pasangan kekasih yang terikut-ikut budaya Barat, bukan sahaja ketika bercinta, bertunang, berkahwin, beranak malah ketika bercerai.

Sebagai orang Melayu kita mendukung agama di tangan kanan dan budaya di tangan kiri tetapi nampaknya orang muda sekarang mencampakkan semua itu di bawah tapak kaki.

Bercinta tanpa batasan hubungan, temu janji ke arah maksiat dan zina kemudian tanpa segan silu berkongsi gambar dan menayangkan kepada umum melalui media sosial.

Dahulu kita rahsiakan pertunangan dan hebahkan perkahwinan, cincin tunang disarung bakal ibu mertua dan calon menantu lelaki tidak ikut atau tidak masuk ke rumah ketika merisik dan bertunang di samping mengehadkan pertemuan antara tunang sebelum berkahwin.

Tiba-tiba muncul pula budaya melutut satu kaki meminang teman wanita depan khalayak ramai, umpama wali dan keluarga sudah tidak wujud.

Majlis tunang diadakan besar-besaran siap dengan pelamin untuk bersanding lelaki dan perempuan umpama sudah berkahwin, dicanang lagi ke media sosial untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Tidak sampai beberapa minggu pertunangan diputuskan, malu tidak tahu di mana mahu menyorok muka.

Jika jadi berkahwin, majlis diadakan umpama majlis dalam gereja sedangkan pasangan itu Melayu Islam. Pengantin perempuan khususnya kerap memakai baju yang jarang dan seksi dengan bunga serta kain putih panjang ‘veil’ dari kepala sampai diseret atas lantai.

Sebelum kahwin turut diadakan bachelor party untuk bakal pengantin termasuk dengan bermacam aktiviti maksiat sehingga ada membawa penari bogel dalam parti tersebut.

Bila bakal melahirkan atau selepas melahirkan anak, diadakan pula baby shower bukannya majlis akikah dan cukur jambul.

Lebih melucukan apabila bercerai perang besar dicanang ke media sosial sekali lagi. Habis hukum agama tentang hak bekas pasangan, rujuk, nafkah anak dan lain-lain tidak dipedulikan.

Adakah salah orang muda yang tiada jati diri atau mungkin ibu bapa mereka yang gagal didik anak dengan didikan agama dan pegangan budaya?

Gerun rasanya memikirkan nasib cucu cicit kita kelak apabila generasi muda ini melahirkan dan mendidik mengikut kecelaruan mereka.

HAJI MUSTAFA KAMAL

Setiu, Terengganu

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain