Tujuannya adalah untuk mengurangkan atau mengelak risiko wujudnya unsur memberi dan menerima rasuah dalam kalangan mereka ketika menjalankan tugasan seperti yang didakwa berlaku jika penguat kuasa bersendirian atau dalam sepasukan agensi yang sama.

Ini melibatkan anggota polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ada menyarankan anggota polis tidak dibenarkan menahan orang awam atau membuat sekatan jalan raya secara bersendirian tanpa pengawasan daripada agensi lain bagi membendung persepsi umum boleh menawarkan rasuah kepada anggotanya.

Beliau menyarankan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain perlu dijadikan asas kepada pendekatan yang positif di mata orang awam untuk menaikkan kembali imej pihak berkuasa.

Ini satu kenyataan yang berani daripada seorang yang dididik menjalankan penguatkuasaan (compliance & enforcement) di mana faktor pengawasan dalaman secara counter-check dipraktikkan supaya tiada seorang pun anggotanya cuba meminta atau ditawarkan sogokan daripada orang awam.

Pada 22 Julai lalu, saya terserempak dengan beberapa orang anggota polis yang membuat sekatan menahan kenderaan seperti motosikal, kereta dan lori di Jalan Tuanku Jaafar Utara menghala ke kawasan perindustrian Senawang, Negeri Sembilan.

Dalam pemerhatian saya, perlakuan antara anggota polis dengan orang awam ketika itu agak mencurigakan dan jika tidak diawasi oleh anggota dari agensi penguatkuasaan lain mungkin berisiko terdedah kepada rasuah.

Kaedah operasi bersendirian yang diwarisi sejak zaman berzaman memerlukan satu penilaian semula yang berani bagi mengurangkan kebimbangan Ketua Polis Negara dalam melaksanakan tugas-tugas kepolisan.

Oleh itu, pihak pengurusan atasan trafik di Seremban mahupun di daerah dan negeri lain perlu memperhalusi kebimbangan tersebut dengan melihat, mengkaji dan menilai semula prosedur operasi standard (SOP) khususnya aspek sebarang operasi yang berkemungkinan menjejaskan lagi imej penjawat awam.

TENGKU MAN
Senawang, Negeri Sembilan