Lebih membimbangkan, masalah obesiti di Malaysia kian meningkat dari hari ke hari. Hal ini terjadi kerana banyak makanan rakyat negara ini yang digoreng menggunakan minyak masak dan mengandungi santan, sekali gus menyumbang kepada pengumpulan lemak dalam badan.

Jumlah penghidap obesiti di Malaysia begitu besar jumlahnya dan setanding dengan Amerika Syarikat (AS). Puncanya sikap sesetengah ibu bapa yang gemar membekalkan anak-anak mereka dengan makanan segera seperti sosej, nuget dan burger.

Ibu bapa lebih cenderung menyediakan makanan segera kerana terpaksa berkejaran ke tempat kerja. Sikap seperti ini yang menyumbang kepada peningkatan obesiti dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

Tidak dinafikan, punca lain masalah itu adalah sikap malas beriadah. Hasil penyelidikan Universiti Stanford, AS mendapati rakyat Malaysia hanya berjalan 3,963 langkah sehari.

Jumlah itu lebih rendah daripada purata penduduk dunia berjalan iaitu 4,961 langkah sehari. Kita jauh ketinggalan jika dibandingkan negara Asia lain seperti Hong Kong yang rakyatnya berjalan dengan purata 6,880 langkah sehari.

Ini membuktikan rakyat Malaysia paling malas untuk berjalan. Hal ini turut menyumbang kepada masalah kegemukan yang melampau.

 

NURULHUDA CHE SOH

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)