Novel atau karya sastera dihasilkan daripada imaginasi penulis kadangkala mampu mempengaruhi minda serta emosi pembaca terutama novel genre percintaan.

Majoriti pembacanya adalah golongan wanita berusia dalam lingkungan 18 hingga 39 tahun. Tidak dapat dinafikan bahawa wanita gemar membaca novel berbanding majalah atau karya-karya fiksyen.

Mereka yang minat membaca novel boleh menyebabkan diri terlampau taksub dengan jalan cerita yang ditulis. Buktinya, sesetengah pembaca mengimpikan bakal pasangan seperti watak hero dan heroin yang terdapat di dalam novel tersebut.

Secara tidak langsung, novel itu menjadikan sesetengah pembaca cerewet dalam memilih pasangan kerana inginkan kesempurnaan tidak realistik pada bakal jodoh mereka.

Selain itu, kita dapat melihat terlalu banyak novel yang telah diadaptasikan ke dalam bentuk drama televisyen atau filem. Kebiasaannya pemilihan novel untuk dibawa ke layar perak adalah berdasarkan jumlah penjualan buku dan sambutan hangat diberikan pembaca.

Kita dapat lihat jika drama tersebut mendapat perhatian jutaan penonton, pihak produksi akan menjadikan karya penulisan lain daripada penulis yang sama untuk drama atau filem seterusnya.

Antara penulis novel yang meningkat naik pada masa kini ialah Anjell, Suri Ryana, Acik Lana dan Siti Rosmizah. Para pembaca juga sentiasa menantikan penulisan terbaharu daripada mereka.

Ini kerana adanya blog-blog yang disediakan oleh penulis agar pembaca yang meminati penulisan mereka dapat mengetahui perkembangan terbaharu dalam penghasilan novel berikutnya.

Bukan itu sahaja, jalan penceritaan dihasilkan oleh penulis-penulis di atas mampu membuatkan pembaca sendiri menjiwai dan menghayati cerita tersebut sehinggakan pelbagai emosi yang timbul. Ada yang menangis, marah dan tersenyum sambil membaca.

Tidak salah sekiranya terlalu minat dengan pembacaan novel cinta kerana dapat memupuk sikap membaca malahan ia dapat mengisi waktu lapang dan menenangkan fikiran.

Tetapi, perlu berwaspada agar tidak terlalu obses dengan jalan cerita imaginasi sehingga mempengaruhi fikiran kita. Ini boleh membawa kepada perkara-perkara yang tidak baik kerana sebahagian novel juga ada yang berunsurkan perkara-perkara negatif.

 

AISYAH IZZATI HASHIM

Bandar Baru Nilai