Awal tahun ini adalah waktu sesuai membuat pemerhatian prestasi pekerja kerana kebiasaannya penilaian akan berlangsung akhir tahun. Sudah tentu ini memerlukan pertimbangan wajar seorang ketua kerana sebagai pekerja mereka mengharapkan markah yang tinggi atas pencapaian mereka sepanjang tahun.

Sebuah portal berita tempatan pada tahun lalu melaporkan, seorang penyelia di Limbang Sarawak membuat laporan polis kerana diserang oleh stafnya yang tidak berpuas hati dengan markah penilaian prestasi yang diberikan. Ia mengejutkan kita walaupun peristiwa sedemikian jarang-jarang berlaku di negara ini, ia boleh menjadi panduan kepada mereka yang menjadi ketua, dikhuatiri boleh berlaku juga di tempat kerja anda.

Antara perkara yang perlu dielak ketika menilai prestasi pekerja adalah kesan ‘halo’. Kesan halo bermaksud salah tanggapan oleh ketua mengenai ciri pekerja yang mempengaruhi penilaian keseluruhan. Ketua membuat kesimpulan kepada prestasi keseluruhan dengan hanya berpandukan satu sikap positif yang dilihat. Sebagai contoh, oleh kerana pekerja A selalu senyum dan ramah, dia dianggap bagus dalam melaksanakan tugas.

Kesilapan kedua pula ialah penilaian dibuat berdasarkan prestasi semasa sahaja. Ketua terdedah melakukan kesilapan dengan hanya mengambil prestasi akhir tahun atau bulan-bulan akhir sahaja dalam perkiraan. Ini menyebabkan terdapat pekerja yang tidak menjalankan kerja dengan baik di awal tahun mendapat markah yang tinggi atau sama dengan mereka yang berusaha dari awal tahun.

Terdapat juga ketua yang cenderung menilai prestasi secara purata kepada semua pekerja kerana tidak mahukan kontroversi. Ia memberi kesan negatif kepada pekerja yang telah melaksanakan kerja dengan baik, manakala mereka yang tidak memberikan mutu kerja yang baik akan mengambil kesempatan. Ketua juga perlu mengelak menilai pekerja berdasarkan kumpulan tertentu selain mengelakkan menilai prestasi pekerja dalam masa yang suntuk.

Keadilan dalam menilai prestasi individu penting bagi mengelakkan perasaan ketidakadilan berlaku dalam kalangan pekerja supaya mereka tidak bersikap sambil lewa, tidak mahu meningkatkan prestasi selain mengambil keputusan berhenti kerja sedangkan mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran tertentu yang diperlukan.

Untuk mereka yang bergelar ketua, sentiasalah beringat dan berwaspada akan tindakan kita. Cubalah untuk berlaku adil dalam membuat sebarang tindakan terutama dalam menilai prestasi pekerja bawahan kerana pekerja yang berkualiti merupakan aset utama kepada organisasi.

FAZLIN UTEH
Universiti Teknologi Mara