Alasan diberikan mudah, untuk memberikan kemudahan kepada rakyat yang diwakili tanpa memikirkan undi pada asalnya kerana mereka daripada UMNO.

Dalam kalangan mereka juga mengatakan tiada hala tuju yang jelas tentang kepimpinan UMNO di bawah teraju baharu selepas pemilihan parti, Jun lalu.

Apa juga alasan yang diberikan, mereka telah mengkhianati kepercayaan pengundi dan ahli parti selama ini. Hikmah di sini ialah rakyat terutama di luar UMNO dapat melihat siapa sebenarnya pejuang dan pembawa obor perjuangan bagi membela rakyat di kala menjadi pembangkang di Dewan Rakyat.

Umum mengetahui, niat sebenar mereka yang pergi meninggalkan UMNO adalah untuk menyelamatkan kedudukan masing-masing dan meninggalkan marhaen UMNO yang mendukung mereka sepanjang perjuangan bersama parti.

Inilah harga yang perlu dibayar oleh marhaen UMNO yang ditinggalkan pergi oleh pemimpin yang mereka bantu siang dan malam serta dicerca oleh parti-parti pembangkang dan sinis daripada orang kebanyakan tentang UMNO.

Biarlah ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu pergi meninggalkan UMNO di kala waktu yang sukar ini sambil kekuatan akar umbi terus diperkasakan dengan gaya olahan kepimpimpinan lebih dinamik. Mengapakah setiap kali krisis UMNO, kepimpinan utama disalahkan?

Seharusnya UMNO digerakkan dari peringkat akar umbi kerana masyarakat Melayu khususnya masih memerlukan UMNO bagi membela kepentingan mereka sambil kita menegur dan membetulkan arah tuju pimpinan parti.

Ahli-ahli Parlimen UMNO jika dilihat bergiat cukup cergas dalam setiap perbahasan di Parlimen dan ini diakui oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan.

Seharusnya ahli UMNO di setiap peringkat mendesak supaya wang UMNO yang dirampas atau dibeku polis dikembalikan semula ke pangkuan UMNO bagi menyusun semula gerak kerja sebagai pembangkang konstruktif di setiap peringkat.

Pergerakan Pemuda sebagai tulang belakang parti seharusnya lebih giat menjalankan kerja-kerja menegur kerajaan sedia ada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ternyata amat lemah mentadbir Malaysia sejak Mei lalu.

Kita juga mendesak agar mana-mana ahli Parlimen yang mahu keluar daripada UMNO mengosongkan juga kerusi mereka supaya rakyat boleh memilih wakil rakyat baharu dan lebih berwibawa.

Akhir kalam, UMNO masih tidak kalah kerana ternyata masih disokong oleh rakyat, cuma tindakan sesetengah pemimpin yang melompat parti adalah cerminan sikap dan perjuangan individu itu sendiri. Obor UMNO akan terus kami nyalakan. Hidup UMNO!

MARHAEN UMNO

Chenderiang, Perak