Dalam tempoh tiga tahun akan datang dijangka lebih ramai lagi pekerja yang akan diberhentikan terutama dalam sektor swasta dan berstatus kontrak. Ini petanda awal negara bakal berdepan krisis ekonomi. Mungkin ramai tertanya kenapa jadi begini?

Pertama, kerajaan Pakatan Harapan (PH) terlalu ghairah melakukan perubahan tetapi tidak menjelaskannya dan tiada kerangka pembaharuan. Untuk mengaburi mata rakyat kerana melakukan perubahan ‘cacar-merba’, mereka ambil tindakan ‘populis’ memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi tiada perancangan merangsang ekonomi susulan penyusutan Ringgit.

Kedua, perancangan baik kerajaan terdahulu sengaja dinafikan. Banyak projek menjana ekonomi dimansuhkan kerana enggan atau ‘malu’ meneruskan ‘legasi’ Datuk Seri Najib Tun Razak. Tindakan ‘balas dendam’ menamatkan beberapa projek ‘mega’ dengan China memburukkan keadaan.

Ketiga, menteri-menteri yang dilantik tiada pengalaman, tidak mempunyai idea bernas dan terlalu banyak berpolitik dengan memburukkan kerajaan lama. Aktiviti ‘siasat dan tangkap’ berleluasa malah ramai ketua syarikat milik kerajaan (GLC) meletak jawatan, menyebabkan pelabur mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’.

Keempat, peralihan kuasa tidak meyakinkan. Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat tetapi tidak menyertai Kabinet? Pelabur tertanya-tanya apakah dasar Anwar dan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaras? Khuatir ‘krisis 1998’ berulang.

Kelima, ‘skrip’ hutang negara ‘tidak terkira’ banyaknya dan wang banyak dicuri sehingga pelabur berhati-hati dan berjimat. Mereka tidak menambah pelaburan, khuatir negara kita muflis. Akibatnya, produktiviti terbantut dan pekerja diberhentikan.

Keenam, kecenderungan kerajaan PH berdagang dengan Jepun dan Amerika Syarikat mengakibatkan ekonomi negara tidak mampu bersaing. Kita sedia maklum barangan keluaran negara maju harganya jauh lebih tinggi. Kerajaan terpaksa keluarkan modal besar untuk berdagang. Rakyat pula terpaksa berjimat cermat dan teragak-agak untuk berbelanja.

Kesannya, aktiviti ekonomi bersifat lemah, aliran mata wang dalam negara juga perlahan. Jelas sekali pendekatan Najib berdagang dengan negara China sebenarnya lebih tepat.

CICIT WAN NGAH

Chenor, Pahang