SAYA ingin mengulas Laporan Khas Utusan Malaysia pada 21 Oktober lalu yang mendedahkan tabiat buruk pengguna jalan raya yang gemar menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Perbuatan itu bukan sahaja dilakukan oleh pemandu kereta malah menjadi amalan sesetengah penunggang motosikal yang didapati hanya akan mematuhi peraturan tidak menggunakan telefon bimbit ketika ternampak pihak berkuasa sahaja.

Saya berpendapat, pendedahan itu perlu dipandang serius khususnya oleh pihak berwajib bagi memastikan kemalangan dikaitkan dengan kecuaian pengguna jalan raya yang sesuka hati menggunakan aplikasi telefon bimbit ketika memandu tidak terus menjadi masalah besar kepada negara ini.

Fenomena itu berpunca kerana wujud trend dalam kalangan rakyat yang gemar menggunakan aplikasi-aplikasi seperti WhatsApp, Facebook dan Twitter. Menderu-deru mesej diterima tidak kira masa termasuk ketika memandu terutama jika seseorang itu mempunyai banyak rakan alam maya dan kumpulan perbualan.

Keadaan itulah yang menyebabkan mereka tidak boleh menahan tangan daripada memeriksa telefon bimbit dan melayannya apabila ada mesej masuk.

Mereka mungkin merasakan sudah cukup cekap untuk mengawal stereng kenderaan serta beranggapan jalan raya tidak sesak sangat serta cukup selamat untuk mereka melakukan aktiviti berkenaan.

Pengguna jalan raya itu seolah-olah tidak dapat berfikir secara rasional atau sengaja melupakan satu hakikat bahawa memandu kenderaan memerlukan tumpuan 100 peratus. Sekiranya mereka masih melayan segala mesej yang diterima, terdapat kemungkinan besar kemalangan akan berlaku.

Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang 2016, lebih 46,000 saman telah dikeluarkan pihaknya membabitkan kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu, lebih banyak berbanding 42,641 saman pada 2015.

Perangkaan itu membuktikan tahap kesedaran pengguna jalan raya mengenai keburukan tabiat berkenaan masih rendah. Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan mengambil langkah lebih tegas dan berkesan bagi menanganinya.

Antara cara paling efektif adalah menambah baik undang-undang sedia ada. Pada masa sekarang, pemandu yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu boleh didakwa di bawah Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300. Jumlah itu adalah terlalu kecil serta hampir tidak membawa apa-apa 
makna pada masa kini. Tidak hairanlah sekiranya terdapat peningkatan terhadap statistik kesalahan itu.

Sehubungan itu, disarankan kerajaan meminda akta sedia ada bagi mengenakan kadar kompaun lebih tinggi supaya pengguna jalan raya bersikap lebih serius berhubung isu berkenaan.

Pada masa sama, operasi bagi menahan pemandu kereta dan penunggang motosikal yang menggunakan telefon bimbit di atas jalan raya perlu diadakan secara lebih kerap.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)