Walaupun sudah banyak penambahbaikan dibuat dalam sistem pemprosesan permohonan ke IPT tempatan, tempoh masa untuk penempatan masih terlalu panjang.

Sejak sekian lama sistem pendidikan di negara ini memberi banyak pilihan kepada lepasan SPM seperti matrikulasi (satu tahun), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) (dua tahun) dan diploma (tiga tahun) sebelum menyambung ke peringkat ijazah sarjana muda (tiga atau empat tahun).

Pelajar lepasan SPM juga mempunyai pilihan institut kemahiran dan vokasional, IPT swasta mahupun A-Level untuk ke unversiti luar negara.

Namun, lebih lama pelajar terpaksa menunggu untuk masuk ke mana-mana IPT maka semakin lambat mereka memulakan prospek kerjaya dalam bidang berkaitan.

Ini juga akan melengahkan tempoh mereka boleh membawa pulang pendapatan bulanan kepada keluarga dan melewatkan pembayaran balik pinjaman pendidikan.

Mengikut pengalaman saya sendiri, seorang pelajar lepasan SPM terpaksa menghabiskan sembilan bulan selepas peperiksaan tersebut untuk memulakan pendidikan di universiti, tujuh tahun berturut-turut untuk mendapat diploma dan ijazah sarjana muda serta sekitar enam bulan lagi untuk mendapat kerja.

Ini bermakna seseorang menghabiskan hampir sembilan tahun berturut-turut untuk memulakan hidup bekerjaya dan meringankan beban ibu bapa yang menanggung kos pendidikan mereka.

Ada yang jimatkan sedikit masa dengan mengambil matrikulasi atau STPM, itu pun jika tidak gagal separuh jalan dan terpaksa bermula semula dari ‘kosong’.

Tidak kurang juga pelajar yang menggunakan diploma untuk mencari kerja kerana tidak mampu meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Dengan kemajuan teknologi khususnya kemampuan menyimpan rekod dan pangkalan data berpusat, proses penempatan pelajar boleh disingkatkan lagi kerana kebanyakan maklumat khususnya keputusan SPM mahupun rekod aktiviti sekolah sepatutnya sudah ada di dalam sistem pusat.

Sistem tapisan IPT awam cuma perlu menunggu setiap pelajar memilih kursus dan IPT sasaran mereka sebelum penyusunan keutamaan mengikut keputusan SPM.

Selain itu, saya juga menyokong saranan tempoh pendidikan dipendekkan dengan mengurangkan tempoh cuti yang boleh digunakan dengan lebih produktif.

Dengan mengurangkan satu atau dua bulan tempoh penempatan ke IPT, memotong dua atau tiga minggu cuti daripada setiap semester mahupun memadatkan kurikulum kursus, seorang pelajar boleh memulakan hidup bekerjaya sehingga satu atau dua tahun lebih awal.

Perkara paling penting adalah tidak membiarkan anak muda kita, pewaris negara, membazirkan banyak masa menunggu dan terus menunggu.

KHAIRUL AZHAR

Pendang, Kedah