Apa yang cukup menarik untuk dikongsikan dengan pembaca adalah tempoh pengajian di universiti itu yang panjang.

Para pelajar diterima belajar di universiti itu sejak berusia 12 tahun dan mesti melalui pengajian menengah selama lima tahun dan diikuti menengah atas dua tahun. Selepas itu, pelajar menyambung pengajian selama tiga tahun untuk mengambil ijazah dan dua tahun lagi bagi peringkat ijazah lanjutan dengan tempoh keseluruhannya selama 12 tahun.

Universiti itu diiktiraf oleh Universiti Al-Azhar, Mesir serta telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan beberapa universiti lain.

Semasa lawatan itu, pihak kami dimaklumkan pengajian di situ bukan setakat bidang usuluddin dan menghafaz al-Quran malah turut merangkumi sains dan teknologi, bahasa serta pengurusan.

Saya berpendapat kaedah unik yang diamalkan institusi pengajian tinggi (IPT) itu wajar dilaksanakan di negara ini dengan cara menaik taraf Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menjadi sebuah universiti.

Kemasukan ke MCKK boleh dikekalkan pada usia 13 tahun dengan mata pelajaran sedia ada terus diajar sebagaimana sekarang tetapi pelajar tidak semestinya menamatkan pembelajaran setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebaliknya terus menyambung pengajian peringkat universiti di situ juga.

Nama yang saya ingin cadangkan adalah Universiti Melayu Kuala Kangsar (UMKK) dan eloklah IPT itu dikhaskan untuk pelajar lelaki Melayu sahaja bagi menyeimbangkan kembali bilangan jantina berkenaan yang semakin berkurangan di universiti awam dan swasta.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

Yang Dipertua Persatuan Keluarga Jamalullail Perak