Di situlah para pegawai perkhidmatan pendidikan tidak kira gred atau pangkat akan berkumpul bersama apabila hadir untuk bertugas. Pastinya mereka yang pernah ke sekolah atau institut pendidikan guru akan melihat ahli akademik akan berada di satu bilik besar dengan hadangan atau partition yang disediakan bagi setiap pegawai.

Tidak kiralah pegawai perkhidmatan pendidikan itu bergred Darjat Guru (DG) 54, DG52, DG48, DG44 atau DG41, kecuali bagi mereka yang diberikan jawatan sebagai Pengarah (DG54), Timbalan Pengarah (DG54/52), Ketua Jabatan (DG52/DG48), Ketua Unit (DG48/DG44).

Di institusi pendidikan tertentu, pastinya tempat-tempat ini diisi oleh mereka yang diberi peluang untuk menjawat jawatan yang diperuntukan tidak kira sama ada ia mengikut ‘piawai prosedur’ atau
 tidak.

Berbanding dengan pensyarah universiti yang tentunya bergred DS (Darjat Syarahan) mereka diperuntukan bilik sesuai dengan kedudukan dan jawatan masing-masing.

Ada juga yang berjenaka dan berseloroh, asalkan ada kerusi dan meja sudah cukup baik dan bersyukurlah tetapi secara jujurnya siapakah yang mahu bekerja sekiranya suasana persekitaran tempat kerja seolah-olah ‘lokap’ atau ‘penjara’.

Apalagi dengan program EKSA (Ekosistem Kondusif Sektor Awam) yang sedang hebat dijalankan dengan inisiatif untuk menambah baik pelaksanaan Amalan 5S.

Tentunya pegawai perkhidmatan pendidikan inginkan tempat kerja yang bercirikan ‘sarang tebuan’. Keadaan di sarang tebuan adalah meriah, bertenaga dan penuh dengan bunyian dan suara; sementara 
‘lokap atau penjara’ adalah sejuk, tersendiri dan terasing.

Yang sebenarnya, pihak pentadbir hanya akan memberi jawapan berupa alasan seperti - “Berada bersama di tempat yang terbuka akan lebih luas pemandangan dan interaksi dan komunikasi akan lebih bermakna.”

Kebanyakan institusi pendidikan turut meningkatkan pengambilan pelajar. Oleh itu dewan syarahan dan bilik kuliah adalah penting dan mustahak serta merupakan permasalahan yang jelas harus diselesaikan.

Namun, adakah pihak pentadbir mengambil perhatian terhadap ‘kebajikan dan keselesaan’ mereka yang menyumbang tenaga dan khidmat bakti untuk pengajaran dan pembelajaran?

Para pendidik terutama yang bergelar ahli akademik memang memerlukan ruang sendiri untuk bertemu dan berjumpa dengan pelajar; tempat yang sunyi dan senyap untuk menyediakan atau membuat persiapan pengajaran kuliah ataupun menjalankan kajian dan penulisan.

Pada hakikatnya ahli pendidik dan akademik memerlukan persekitaran konservatif mereka 
sendiri.

BAKOR LAMBOK

Pendidik