Hutang negara tinggalan kerajaan terdahulu dikatakan mencecah RM1 trillion. Dengan jumlah hutang yang besar ini, ia mungkin mengambil masa agak lama untuk mengurangkannnya lebih-lebih lagi dengan mengambil kira keadaan ekonomi pada masa kini yang tidak menentu.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi menyelesaikan masalah hutang negara yang tinggi ini dan di antaranya ialah dengan melihat kembali terhadap semua projek yang telah diluluskan kerajaan terdahulu, mengurangkan proses perbelanjaan kerajaan pada masa akan datang serta melalui pungutan cukai. Melalui langkah pungutan cukai, adalah tidak sesuai untuk memperkenalkan apa–apa cukai baharu pada masa sekarang bagi mengelakkan penambahan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat.

Langkah terbaik yang boleh diambil melalui langkah pungutan cukai ini ialah dengan menaikkan cukai sedia ada terhadap mana–mana barangan atau perkhidmatan yang ada dalam negara kita terutamanya barangan yang tidak membawa manfaat dan faedah terhadap rakyat negara kita seperti rokok.

Dengan menaikkan cukai terhadap rokok ini akan menjadikan rokok sebagai salah satu barang mewah sekali gus akan menyebabkan pengguna berfikir berpuluh kali sebelum ingin membelinya.

Kerajaan tidak perlu melayan sebarang amaran daripada pihak-pihak tertentu yang akan mengatakan bahawa dengan menaikkan harga rokok ini akan menyebabkan kebanjiran rokok seludup dari luar kerana pihak Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) juga telah mengambil satu langkah proaktif pada minggu yang lalu dengan mencadangkan supaya dipinda Akta Kastam 1967 [Akta 235] untuk mengenakan tindakan hukuman sebatan dan denda minimum RM100,000 terhadap mereka yang menjual rokok dan arak seludup.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, denda hukuman yang lebih berat itu bertujuan untuk mengekang penjualan rokok dan arak seludup di negara ini.

Dengan pindaan akta itu, penjual yang menjual sekartun rokok seludup akan dikenakan denda minimum RM100,000 dan sebatan berbanding sebelum ini denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang sahaja, di mana sindiket biasanya akan membayar denda. Cadangan untuk menaikkan cukai ke atas rokok ini boleh dipertimbangkan oleh pihak kerajaan dalam proses pembentangan Bajet 2019 yang akan datang melalui pihak Kementerian Kewangan.

 

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

USIM.