Jika dahulu sekurang-kurangnya dua atau tiga lagu berkualiti dalam sebuah album tetapi kini sebuah lagu bermutu pun sukar dicari.

Boleh dikatakan lagu ‘menyengat’ zaman sekarang juga tidak mampu mencabar lagu-lagu ‘corot’ zaman dahulu.

Bahkan, begitu sedapnya lagu lama itu, ada sebahagiannya mempunyai susunan muzik yang mantap dan dapat mengalahkan pakej lagu baharu dihasilkan sekarang.

Dahulu dalam satu tahun itu, sekitar enam atau tujuh buah lagu adalah lagu hebat tetapi kini jumlahnya dilihat merosot menjadi sekitar dua atau tiga lagu sahaja.

Pada pendapat saya, masalah ini terjadi kerana kebanyakan lagu sekarang dicipta oleh golongan yang kurang berbakat sebagai seorang komposer termasuk dalam kalangan penyanyi sendiri.

Pandai menyanyi tidak bermakna bijak menghasilkan alunan lagu dan lirik. Menghasilkan lagu itu satu kesenian bukannya sekadar tangkap muat tanpa mempedulikan kualiti hasil kerja mereka.

Golongan ini seperti cuma mahu mendapatkan gelaran versatile semat-mata selain ada yang ‘tamak’ kerana ingin membolot keuntungan seorang diri jika lagu mereka memenangi hati peminat dan menerima anugerah.

Pengkarya dahulu terpaksa bertungkus-lumus menghasilkan lagu bermutu kerana mereka tiada kemudahan media sosial seperti sekarang untuk mempromosikan karya dan bakat menghasilkan lagu yang hebat.

Dengan kemudahan promosi yang terhad, karya bermutu adalah cara utama dan ‘senjata ampuh’ untuk memikat hati peminat. Tidak seperti penyanyi zaman sekarang, jika bakat atau lagu tidak sehebat mana pun mereka tetap boleh mempromosikan diri melalui laman sosial yang beraneka coraknya.

Janganlah atas alasan ‘seni itu santai’, maka usahanya juga ‘cincai’.

Contohilah karya–karya hebat dan malar segar yang dihasilkan oleh seniman seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Datuk M. Nasir, Datuk Dr. Ahmad Nawab dan beberapa lagi pengkarya-pengkarya legenda yang lain.

SENIMAN JALANAN OKU

Nyalas, Melaka