Kejadian bermula apabila kereta Honda Civic milik ibu telah dikunci menggunakan clamp oleh seorang petugas yang mendakwa dirinya adalah penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Alasan diberi kerana kereta diletakkan di luar petak meletak kenderaan.

Disebabkan mahu beredar segera untuk mengambil dua cucu di sekolah, bapa saya diarah penguat kuasa terbabit agar membayar sejumlah RM80 iaitu RM30 untuk bayaran saman manakala RM50 untuk buka kunci tayar. Peliknya, setelah pembayaran dibuat, resit dikeluarkan penguat kuasa itu hanya mencatatkan angka RM50!

Lebih menghairankan, kawasan berkenaan tidak pula mempunyai papan tanda zon tunda ataupun zon clamp tayar kereta, malah garisan kuning sebagai larangan meletak kereta juga tidak ada.

Sebagai warga ibu kota, kami tidak kisah untuk menjelaskan saman di atas sebarang kesalahan tetapi pelanggaran peraturan itu boleh dielak jika DBKL lebih prihatin menyediakan papan tanda yang sewajarnya agar tidak timbul pertikaian di kemudian hari.

WARGA KOTA

Kuala Lumpur