Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Musibah salah sendiri

PASUKAN Hazmat membersihkan sisa asid tumpah bagi mengelak lori
PASUKAN Hazmat membersihkan sisa asid tumpah bagi mengelak lori yang terbalik terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di KM 251.6 Lebuhraya Utara-Selatan dengan sebuah kereta Toyota Vios berhampiran susur keluar tol Senawang menghala utara pada 12 Ogos lalu. BERNAMA

SAUDARA PENGARANG, SABAN tahun statistik kemalangan jalan raya menunjukkan perangkaan kematian tidak banyak berubah. Lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.

Baru-baru ini kemalangan melibatkan sebuah lori tangki membawa muatan asid kimia dan sebuah kenderaan berhampiran tol Senawang. Tragedi itu mengakibatkan pemandu lori berkenaan maut manakala dua wanita dalam kereta terbabit cedera.

Kadang-kadang terfikir, apakah tragedi maut seperti itu tidak dijadikan iktibar buat pengguna jalan raya? Apakah laporan kes kemalangan dan kempen-kempen keselamatan jalan raya selama ini langsung tidak memberi kesan kepada orang ramai? Atau masyarakat masih belum dapat menghayati sepenuhnya moto kempen iaitu ‘Anda mampu mengubahnya’?

Isu kemalangan jalan raya ini serius kerana melibatkan nyawa manusia. Setiap kali kemalangan, seperti biasa cerita ‘bangau oh bangau’ akan ditimbulkan dan masyarakat akan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu untuk dipersalahkan.

Kebiasaan yang kita akan dengar, antaranya mengungkit kempen keselamatan dibuat tidak berkesan dan bersifat bermusim serta menyalahkan pihak berwajib seperti Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan dan polis trafik kerana tidak menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang berkaitan jalan raya.

Sesempurna mana pun undang-undang digubal dan sebanyak mana pun penguatkuasaan dilaksanakan, semua itu akan menjadi sia-sia jika pengguna jalan raya sendiri tidak menghiraukan soal keselamatan mereka.

Hakikatnya, sikap endah tak endah dan tidak bertanggungjawab pengguna semasa berada di jalan raya adalah penyebab utama kemalangan berlaku. Sikap sedemikianlah yang membunuh kita dan mereka yang tidak berdosa. Pengalaman teori dan praktikal serta memiliki lesen memandu sah belum tentu menjamin seseorang itu menjadi pemandu berhemah.

Semacam wujud satu budaya menggerunkan apabila sebahagian besar masyarakat kita yang tinggi nilai sopan-santun dan tatasusilanya akan berubah sifat menjadi tidak waras seperti memotong di garisan berkembar serta memandu melebihi had laju dan berlumba-lumba sejurus tangan memegang stereng kenderaan.

Masyarakat kita juga menyaksikan sikap sesetengah ibu bapa tidak kisah memberikan ‘lesen besar’ kepada anak bawah usia membawa motor merempit ke hulu hilir dan sikap tamak pengusaha pengangkutan awam meletakkan keuntungan mengatasi keselamatan apabila ‘meluluskan’ kenderaan uzur beroperasi dan menggunakan khidmat pemandu bermasalah.

Pendek kata, golongan pengguna jalan raya yang bersikap negatif seperti ini tidak menyedari musibah yang mungkin akan melanda ke atas diri mereka dan orang lain dek kerana kecelakaan itu belum terkena pada batang hidung sendiri.

Muhasabah diri perlu dibuat oleh semua pengguna jalan raya. Imbas kembali sikap buruk yang diamalkan selama ini, dan perbetulkan selagi belum terlambat. Jangan asyik hendak salahkan pihak lain seperti pihak berkuasa atau bencana alam apabila berlaku sesuatu kemalangan, tanpa memperbetulkan dahulu kesilapan diri sendiri.

Penggunaan jalan raya secara berhemah dan mengikuti peraturan ditetapkan sepanjang masa adalah demi kebaikan diri sendiri, orang tersayang dan juga pengguna jalan raya yang lain.

Jangan apabila dah terhantuk, baharu hendak tengadah. Pada masa itu, seribu sesalan pun tidak akan dapat mengubah kecelakaan dan kehilangan nyawa yang telah berlaku akibat sifat bermaharajalela dan cuai ketika di jalan raya.

DR. KHAIRUNNEEZAM 
MOHD. NOOR

Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain