Walaupun tidak mengejutkan kerana ketibaan Ramadan memang saban tahun disambut dengan kenaikan harga barang.

Bagi mereka yang membazirkan beratus ringgit untuk pakej bufet Ramadan yang tidak masuk akal mungkin tidak terasa dengan kenaikan ini tetapi bagi golongan pertengahan dan kurang mampu, setiap sen kenaikan memang membebankan.

Apa yang menjelikkan adalah sikap peniaga khususnya pembekal seolah-olah mencabar pihak berkuasa mengambil tindakan dengan tanpa segan silu ‘mengumumkan’ kenaikan harga barang sebulan setengah sebelum bulan puasa.

Langkah berani ini lebih mendahului pengumuman kawalan harga barang sempena musim perayaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Ini baru kisah peruncit dan pembekal barang basah serta keperluan asas, bayangkan kenaikan harga untuk makanan, minuman dan produk-produk lain dijual di bazar Ramadan tahun ini.

Bukan sahaja perayaan umat Islam, boleh dikatakan semua musim perayaan yang disambut di negara ini akan dijadikan pesta kenaikan harga dengan alasan permintaan tinggi, bekalan kurang, kos meningkat dan lain-lain sedangkan kita semua tahu mereka mengejar keuntungan semata-mata.

Harga kelapa juga naik semasa Deepavali lalu dan harga limau mandarin naik setiap kali Tahun Baharu Cina. Ini belum lagi mengambil kira kenaikan harga tiket bas dan pengangkutan lain ketika musim perayaan.

Tahun lalu saya terkejut melihat harga juadah berbuka di bazar Ramadan, rasanya perkara sama akan berlaku tahun ini melihatkan keghairahan peruncit dan pembekal barang basah menetapkan ‘harga baharu’.

Harga jualan ‘baharu’ pada bulan Ramadan juga kebiasaannya kekal sebagai harga minimum untuk satu tahun akan datang dan tidak akan diturunkan langsung walau satu sen tetapi mungkin akan naik lagi jika ada sebarang alasan lain.

KPDNKK sendiri sebenarnya tidak mampu memantau semua tempat dan lebih mengharapkan pemeriksaan mengejut untuk menangkap peniaga yang melanggar peraturan mahupun mengambil keuntungan melampau.

Saya sarankan orang ramai membantu dengan merekodkan harga barang basah dan juga harga juadah yang dijual di pasar malam bermula minggu ini walaupun cuma sekali seminggu supaya perbezaannya boleh dibandingkan apabila Ramadan tiba tujuh minggu lagi.

Mula ambil gambar, video atau sekadar mencatat harga barang. Rekod ini boleh disampaikan kepada KPDNKK untuk rujukan dan membuktikan berlakunya pesta kenaikan harga atau sekadar rujukan sendiri.

Laporkan segera sebarang kenaikan mendadak kepada KPDNKK berserta bukti supaya tindakan tegas dapat diambil terhadap peniaga yang tamak haloba.

Jika melampau sangat perbezaan harga sekarang dan pada bulan Ramadan, sebarkan di media sosial supaya orang ramai boleh menilai sendiri sikap peniaga tersebut sebagai amaran kepada peniaga lain.

Selain memboikot, kita perlu sebarkan maklumat kenaikan harga barang supaya pengguna lain dapat mengambil tindakan sama kerana kita tidak boleh sekadar mengharap pihak berkuasa bertindak.

Saya faham ada peniaga khususnya peruncit mengadu mereka tiada pilihan memandangkan pembekal yang mula menaikkan harga dan akhirnya kos tambahan itu terpaksa ditolak kepada pengguna.

Peniaga juga boleh melaporkan tindakan pembekal itu kepada KPDNKK tetapi janganlah guna alasan ‘tiada pilihan’ kerana kita sentiasa ada pilihan dan pilihan akhir sebenarnya ada di tangan pembeli sama ada mahu berurus niaga atau sekadar window shopping.

Jika betul tiada cara lain selain menaikkan harga, biarlah berpada. Jangan sampai ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’.

Naikkan harga untuk untung tapi bila pembeli boikot akhirnya sendiri rugi besar.

DR. MUSTAFA

Selayang, Selangor