Sebab itu dari dahulu lagi sudah dikatakan kumpulan pembangkang mudah membuat janji air liur kerana apa yang terjadi pun boleh salahkan pentadbiran terdahulu sebagai punca janji itu ‘dicapatikan’.

Selepas terbukti tidak dapat tunaikan janji, kini muncul pula gerakan dalam media sosial untuk alihkan perhatian kononnya pengundi memangkah PH bukan kerana janji manifesto.

Menteri Kewangan yang ada kes rasuah di mahkamah pun boleh buka tabung untuk rakyat menderma kononnya mereka ini patriotik. Berapa agaknya yang didermakan menteri-menteri Kabinet?

Cuba dedahkan kepada umum untuk kami menilai kerana tahap kekayaan ahli politik dalam kerajaan bukannya rahsia lagi.

Sungguh memalukan bila dunia melihat pentadbiran baharu masih dengan mentaliti pembangkang, lebih suka mencari salah orang dan setiap hari buat sidang akhbar daripada menyelesaikan masalah sebenar.

Kepada pemimpin beragama Islam, jangan jadi orang munafik kerana azab Allah SWT di dunia dan akhirat sangat dahsyat. Kata-kata kamu dusta belaka, janji-janji kamu dimungkiri, amanah dalam mandat kamu juga nampaknya bakal dikhianati.

KAMAL MUSTAFA

Kuala Lumpur