SAYA ingin memohon jasa baik Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAINK) memuat naik teks khutbah Jumaat ke laman web jabatan itu lebih awal pada setiap minggu bagi memudahkan urusan pihak-pihak yang terlibat khususnya pihak masjid.

Untuk makluman semua, ketika ini teks khutbah tersebut hanya dimuat naik pada setiap malam Jumaat. Ini menyebabkan pihak masjid mempunyai tempoh tidak sampai 24 jam untuk mencetak, menyemak dan memahami teks itu sebelum khatib menyampaikannya di atas mimbar ketika Solat Jumaat keesokannya.

Tambahan pula, teks yang disediakan oleh JHEAINK tersebut hanya dalam satu format sahaja iaitu teks jawi tanpa ada lampiran dalam rumi dan lampiran slaid multimedia. Bagi saya JHEAINK wajar mencontohi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang memuat naik teks khutbah Jumaat seawal pagi Rabu pada setiap minggu.

Malahan teks khutbah yang dimuat naik itu turut dilampirkan bersama teks rumi, teks berbahasa Inggeris dan format slaid multimedia untuk tayangan di skrin masjid. Semuanya ini akan memudahkan lagi penyampaian teks khutbah.

Jika JHEAINK masih belum mampu mencapai tahap perkhidmatan Jawi dan Jais, memadailah jika dapat memuat naik teks khutbah Jumaat seawal Selasa atau Rabu agar pihak masjid dapat mengambil inisiatif sendiri menyediakan slaid multimedia.

Persembahan slaid khutbah bukan sahaja memberi lebih kefahaman kepada jemaah tetapi juga dapat memanfaatkan skrin televisyen bernilai ribuan ringgit yang kini tersedia dipasang di kebanyakan masjid.

Selaras dengan usaha kerajaan Kedah menaikkan elaun imam, bilal dan siak bermula 2018 bagi memartabatkan institusi masjid, saya kira JHEAINK juga wajar lebih berinovasi dan proaktif ke arah mencapai matlamat kerajaan negeri tersebut.

SAMSUDIN AWANG

Jitra,Kedah