Pada peringkat awal, rakyat kelihatan teruja mendengar pendedahan demi pendedahan, namun selepas hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan kini setelah melangkaui 100 hari pentadbiran, rakyat mula jemu, muak dan sehingga ke tahap menyampah mendengar pelbagai drama yang dipertontonkan melalui pelbagai medium.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu sedar bahawa rakyat memilih kerajaan baharu menggantikan kerajaan sebelum ini bagi memberi peluang untuk melakukan perkara yang lebih baik.

Bukan untuk mendengar pelbagai masalah kerajaan lalu.

Jauh sekali daripada itu, untuk berkorban kepada kerajaan hari ini dalam bentuk pengurangan pelbagai manfaat yang sedia dinikmati rakyat sebelum ini.

Justeru, cukup-cukuplah menghidangkan rakyat dengan drama dan sketsa murahan.

Paling parah apabila cerita-cerita yang dibongkar itu akhirnya memakan diri sendiri dan ternyata ia lebih dilihat majoriti rakyat sebagai satu pembohongan dan cubaan mengalih isu daripada kegagalan PH menunaikan manifesto 100 harinya.

Daripada peningkatan hutang kepada RM1 trillion, yang sehingga hari ini tiada satu badan penilaian kredit dunia mahu pun tempatan yang mengiktiraf nilai terbaharu itu sehingggalah kepada tuduhan penggelapan RM19 bilion dana Tabung Amanah GST yang ternyata satu pembohongan apabila Ketua Pengarah Kastam sendiri mendedahkan sebaliknya, sketsa yang pada peringkat awal seakan-akan dirancang untuk memburukkan musuh, akhirnya telah mencemar kredibiliti PH sendiri.

Fokuslah kepada masalah sebenar rakyat. Di sana ada rakyat yang merungut tentang kos sara hidup yang tinggi kesan daripada dasar kerajaan sebelum ini, justeru mengharapkan masalah ini dapat diselesaikan di bawah pentadbiran baharu.

Kerajaan PH yang kini tidak menafikan bahawa penggantian GST kepada SST pada 1 September kelak bukan sahaja tidak akan menurunkan harga barang, bahkan menaikkan harga lagi sewajarnya telah mula mengambil langkah mengatasi masalah ini.

Manifesto PH bukan sahaja mahu GST dihapuskan, tapi pada rangkap yang sama turut menjanjikan penurunan kos sara hidup.
 Justeru, jangan hanya fokus kepada perubahan rejim percukaian, sebaliknya bagilah tumpuan yang lebih kritikal terhadap usaha mengurangkan kos sara hidup itu sendiri.

RAKYAT BAWAHAN

Bangsar, Kuala Lumpur