Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa, muafakat itu berkat!

Bermula dengan kendarat atau rewang ketika jiran tetangga mengadakan majlis-majlis keramaian membawa kepada budaya bertukar buah tangan antara tuan rumah dan tetamu yang sudah menjadi kemestian bagi masyarakat Johor.

Justeru, budaya itulah yang diteruskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika beliau turun ke kawasan Parlimen dalam negeri Johor sejak dua bulan lalu.

Bermula Januari lalu, Mohamed Khaled bersama jentera pembangunan negeri Johor telah melawat sebanyak 18 kawasan Parlimen.

Beliau tidak pernah kenal erti lelah dan sentiasa berusaha memastikan nasib serta masa depan rakyatnya terbela.

Mohamed Khaled turun dan melihat sendiri setiap permasalahan rakyat di Johor kerana baginya setiap seorang daripada rakyat Johor adalah amanah besar kepada beliau selaku pemimpin!

Sepanjang lawatan beliau ke kawasan Parlimen di Johor, Mohamed Khaled telah memperuntukkan ratusan juta ringgit untuk menangani permasalahan setempat yang boleh menjadi barah jika dibiarkan.

Saya sebut barah kerana masalah tanpa penyelesaian akan merebak umpama ketumbuhan jika dibiarkan tanpa rawatan akan membunuh kaliber politik seorang pentadbir seperti Mohamed Khaled.

Sebagai anak Johor, saya juga berbangga dengan beliau kerana amat menitikberatkan soal agama dalam pentadbiran negeri.

Ini dapat dilihat dalam setiap lawatan beliau dan jentera kerajaan negeri bersolat jemaah (biasanya waktu zuhur) bersama-sama penduduk berdekatan sama ada di masjid atau surau yang menjadi hentiannya.

Setiap peruntukan yang diumumkan pula pasti akan ‘diselitkan’ sejumlah khas untuk membina, menaiktaraf mahupun membaikpulih masjid dan sekolah-sekolah agama dalam Parlimen berkenaan.

Mohamed Khaled juga memperuntukkan sebahagian daripada wang zakat untuk diberikan kepada lebih 33,000 anak-anak asnaf yang menghadiri sekolah agama sebagai duit belanja dalam bentuk makanan percuma (Program Bantuan Makanan Sihat).

Justeru, pernahkah kita membayangkan jika Johor yang disayangi ini jatuh dan tergadai ke tangan DAP?

Fahamkah kita misi dan kiblat perjuangan Lim Kit Siang dan sekutunya itu? Akan tercampak di manakah kitab-kitab sekolah agama kebanggaan kita yang diperkenalkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar lebih 100 tahun lalu?

Sanggupkah kita yang berbangsa Melayu Islam ini melihat maruah bangsa kita dipersenda dan diinjak-injak oleh sekutu mereka?

Buktinya ada di depan mata. Bukalah mata lihat sendiri nasib rakyat yang ditadbir oleh DAP dan sekutunya. Adakah kita akan berbangga jika menjadi seperti rakyat di negeri-negeri tersebut yang antaranya terpaksa membayar 20 sen bagi setiap helai beg plastik kononnya untuk dana pembangunan negeri?

Kenapa mereka jadi bisu dan akur? Kerana lima tahun lalu mereka sudah tersalah pilih! Mahu mencuba resipi baharu daripada UMNO kepada PKR.

Masa berlalu, rakyat negeri Pakatan Harapan masih menumpang ihsan hospital kerajaan Barisan Nasional manakala peruntukan jutaan ringgit untuk sekolah agama, masjid mahupun surau realitinya cuma dalam mimpi.

Justeru sebagai bangsa Johor yang tinggi kesetiaannya, marilah kita bersama-sama pastikan bahawa kerajaan sedia ada akan terus memerintah. Kita tidak mahu mencuba resepi baharu, kita tolak kerajaan baharu!

Resipi baharu belum tentu dapat memenuhi selera bangsa Johor, belum tentu sedap, belum jelas khasiatnya atau mungkin racun akibatnya.

Mungkin inilah masa yang paling sesuai untuk kita menjatuhkan hukuman pada DAP dan sekutu-sekutu parasitnya.

Marilah sama-sama kita pastikan mereka kempunan dan terus kempunan dengan kerusi-kerusi di ‘Bumi Berlantai Permata’ ini!

Bertanggungjawablah kita sebagai bangsa Johor untuk memastikan DAP dan sekutunya dapat dikalahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

TUN MUTAHIR

Muar, Johor