DIAM tak diam sudah 16 tahun berturut-turut Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengadakan pameran pelaburan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM). Acara pelaburan terbesar bermula di Kuala Lumpur pada tahun 2000 itu kini ‘menjengah’ Tapah, Perak.

Seperti sudah ‘digazetkan’, tarikh 20 April setiap tahun PNB akan ‘pusing’ Malaysia menganjurkan MSAM ala karnival selama lapan hari bagi memberi peluang kepada masyarakat khususnya di luar bandar untuk mendalami ilmu pelaburan.

Hakikatnya, penganjuran MSAM telah memberi banyak manfaat kepada seluruh peringkat masyarakat termasuk generasi muda biarpun ketika awal penganjuran ramai yang tidak faham tentang keperluan PNB mengadakan MSAM. Kini, kita boleh nampak ­penyertaan MSAM daripada ­kalangan pelajar meningkat dari setahun ke setahun.

Masakan tidak, pengisian kandungan MSAM dipenuhi de­ngan pelbagai aktiviti pendidikan berteraskan pelaburan dan hibur didik seperti permainan inte­r­­­­aktif berasaskan konsep pu­langan serta risiko di Jejak Pelabur Bijak ­Maybank dan lain-lain.

Rata-rata pelajar mengakui pengisian MSAM secara tidak langsung membuka mata mereka tentang asas dan kepentingan perancangan kewangan serta maklumat pelaburan yang boleh dilakukan seawal usia muda sebagai persediaan bagi tabungan pendidikan mereka.

Selain itu, kemeriahan penganjuran MSAM turut ‘diserikan’ de­ngan penyertaan lebih 50 syarikat Kumpulan PNB, ejen-ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), badan kawal selia serta agensi kerajaan dan swasta.

Menerusi penyertaan itu, pegawai daripada setiap agensi akan memberi konsultansi secara percuma berkenaan pengurusan kewangan dan penjelasan secara terperinci mengenai beberapa produk yang boleh pengunjung sertai.

Pada hemat saya, MSAM bukan sekadar pameran biasa kerana para pengunjung yang buta ilmu pelaburan sekalipun akan mendapat faedah apabila mendekati, memahami dan mendalami ­kandungan pameran.

Saya juga bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penganjuran MSAM juga membuka ­peluang kepada rakyat untuk berkongsi kekayaan negara menerusi tawaran unit-unit amanah PNB seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Gemilang (ASG) dan sebagainya.

Menariknya, melalui unit berkenaan, kekayaan negara boleh diagihkan dan dikongsi kepada rakyat dengan risiko pelaburan ­paling minimum kerana kaedah yang ditetapkan kerajaan melalui PNB memberi perlindungan ­kepada pelabur.

Hakikatnya, masyarakat 
Malaysia sangat beruntung kerana ­peluang untuk mendapatkan ilmu pelaburan seumpama MSAM tidak pernah dinikmati oleh negara lain. Selain itu, MSAM juga memberi 
peluang keemasan kepada rakyat untuk mendapatkan ilmu pelaburan sebanyak mungkin sambil mengenali syarikat-syarikat gergasi di bawah PNB.

Hari ini, pulangan dan risiko bukan sahaja sudah diketahui masyarakat Malaysia, bahkan ramai kalangan mereka terutama Bumiputera sudah berani untuk melabur dalam unit-unit amanah saham.

Bukti kejayaan MSAM dapat dilihat menerusi peningkatan aset-aset di bawah PNB kini mencecah RM267 bilion berbanding hampir RM36 bilion unit pada tahun pertama penganjuran MSAM iaitu pada 2000.

Jelas sekali, penganjuran MSAM selama ini tidak sia-sia kerana telah berjaya membuka minda rakyat Malaysia tentang kepen­tingan membuat pelaburan di masa depan. Syabas PNB!

CTASIARA

Ipoh, Perak