Selaras dengan falsafah politik kontrak sosial, tugas kerajaan adalah untuk memelihara susunan serta mengatur landskap ekonomi dan sosioekonomi. Justeru, amatlah wajar jika sesebuah kerajaan dilengkapi dengan jentera monetari, komited ke arah memperkasakan sistem dan infrastruktur pengangkutan awam (SPA).

Pelancaran projek Transit Aliran Massa Lembah Klang (KVMRT) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini adalah bukti kukuh atau tangible evidence bahawa kerajaan prihatin terhadap masalah pengangkutan yang dialami rakyat sejak era pemodenan dan industrialisasi negara.

Ini berpunca daripada liputan (coverage, connectivity & interchangeability) sistem pengangkutan awam zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad yang amat tidak meluas dan inklusif.

Kerajaan pimpinan Najib telah memperbaiki SPA menerusi penambahan stesen (line extension) LRT Laluan Kelana Jaya dan Sri Petaling. Ini telah membawa manfaat kepada warga penduduk di kawasan yang terkenal dengan kesesakan iaitu Puchong dan Subang Jaya.

Dahulu jika mahu ke kelas, saya terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) selama 30 minit untuk ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT). Hasil penyambungan jajaran LRT Kelana Jaya, perjalanan ke stesen sekarang hanya mengambil masa lima minit.

Saya menetap di Ara Damansara dan sekarang ada dua stesen di kawasan sama (hentian Lembah Subang dan Ara Damansara). Dengan adanya Transit Aliran Massa (MRT), kini saya juga diberi pilihan menaiki MRT Kota Damansara untuk ke Kuala Lumpur yang hanya memakan masa selama 15 minit dari rumah.

Selain itu, Shah Alam, sebuah kota padat yang telah dijadikan sebagai ibu negeri Selangor hampir 40 tahun lalu masih tidak punya rangkaian pengangkutan awam efisien.

Alhamdulillah, dengan pembinaan LRT jajaran Bandar Utama-Klang, penduduk di Shah Alam dan juga Klang bakal merasai kemudahan pengangkutan awam dalam tempoh tiga tahun lagi.

Tambahan pula, kerajaan sentiasa memastikan syarikat terbabit yang mengendalikan SPA untuk menjalankan tanggungjawab sepenuhnya. Dari pengamatan saya, hampir kesemua gerabak dan stesen LRT RapidKL dikendalikan dengan baik.

Malah tren dan stesennya yang beroperasi sejak tahun 90-an pun diselenggara dengan elok serta sentiasa kelihatan baru. Sudah tiga kali saya nampak lantai di stesen LRT hilang satu jubin, dan dua tiga hari kemudian, lantai telah dibaiki. Waima hilang satu jubin, staf-staf penyelenggaraan akan meletakkan satu tanda amaran besar atas lantai.

Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) kendalian MOF Incorporated (Kementerian Kewangan) tidak pernah lokek untuk melabur duit membeli koc bas dan gerabak tren baharu. Ada sebilangan SPA di negara lain menggunakan kenderaan yang hampir relai.

Mujurlah di Malaysia realitinya lain, tambang yang dibayar oleh rakyat diuruskan dengan betul.

Sistem MRT di Malaysia kini pada tahap world-class. Jika berkelapangan, bolehlah cuba naik MRT. Sistem tren digunakan juga sungguh canggih.

Rakyat Malaysia perlu membuka mata dan lihat bagaimana kerajaan dipimpin Najib berjaya melaksanakan agenda transformasi pengangkutan awam dalam masa enam tahun.

Selain itu, rakyat juga harus mengamalkan konsep give credit when its due kepada kerajaan dan tidak berkira soal duit cukai.

Kerajaan bukanlah sebuah parti politik tetapi sebuah entiti pentadbiran yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal rakyat. Menyokong kerajaan tidak sama dengan menyokong UMNO.

ADDIN AIMAN

Kuala Lumpur