Yang jelas adalah tiada hasrat untuk menukar nama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kepada Maktab Rendah Sains Malaysia.

Peruntukkan 10 peratus tempat kepada penuntut bukan bumiputera tidak juga dipenuhi oleh mereka yang menuntut, jadi tidak perlulah mana-mana pihak cuba untuk mempermainkan sentimen atau mengusahakan kekecohan yang tidak sepatutnya.

Sebagai salah seorang pelajar perintis yang pernah berada dalam sistem MRSM, saya tidak merasakan isu seperti ini harus digembar-gemburkan.

Sistem pendidikan MRSM adalah lebih kurang sama juga dengan sistem pendidikan negara cuma mungkin kemudahan dan pemikiran mereka yang pernah belajar di situ adalah berlainan dari sekolah harian biasa.

Ketika saya pulang bercuti ke kampung baru-baru ini, saya ada berjumpa dengan salah seorang anak saudara saya yang juga belajar di MRSM.

Saya bertanya keadaan pengajaran dan pembelajaran yang dia lalui dan saya tidak terkejut apabila dimaklumkan bahawa mereka juga hadir ke kelas seperti biasa, menelaah secara berkumpulan dan yang penting individu yang berusaha lebih akan mencapai pencapaian yang lebih baik.

Mereka juga seperti pelajar sekolah lain, tertekan juga kerana kurang diberi peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum mahupun persatuan.

Hanya mereka yang mempunyai ‘kecerdasan pelbagai’ yang mampu menghadapi cabaran dan dugaan sebagai pelajar di salah sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) yang terpilih.

Walaupun isu ini cuba dicemaskan dan dibangkitkan oleh pihak tertentu, mereka yang pernah belajar di MRSM tidak perlu melatah. Jika tidak, mana mungkin Persatuan Anak Sains Mara (Ansara) atau ahli Yang Berhormat (sedia ada atau bekas) akan memberi peluang kepada ‘aktivis’ yang cuba mengeruhkan keadaan.

Perlulah diingatkan, bekas pelajar MRSM bukan calang-calang kedudukan mereka dahulu dan sekarang. Didikan MRSM lebih diplomatik, tenang dan bersahaja.

Semangat kekitaan, kesaksamaan dan ketenangan mungkin telah disemai dengan baik.

Berbalik kepada hasrat peruntukkan untuk pelajar bukan bumiputera, ketika saya di tahun kedua (1974) memang sudah ada pelajar bukan bumiputera bersama kami dan tidak timbul isu menidakkan peluang mereka.

Kelebihan pendidikan MRSM sebenarnya mungkin dapat kita ketahui dari hasil keputusan bekas pelajar sama ada mereka berjaya dalam mencapai cita-cita dan dalam kehidupan mereka selepas tamat belajar.

Bekas pelajar lama seperti saya hanya dapat mengetahui keadaan jika bertemu dan berjumpa di majlis perjumpaan perkahwinan, rumah terbuka atau majlis pengebumian.

AZIZI AHMAD

Institut Pendidikan Guru Kampus
 Bahasa Antarabangsa