M. KULA SEGARAN

Kenyataan maaf hanyalah perkataan. Bak kata pepatah Melayu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Sebagai rakyat Malaysia, yang datuk nenek moyang beliau berhijrah ke sini ribuan tahun dahulu, di zaman Sri Vijaya, mereka bergaul mesra dengan penduduk tempatan, iaitu kaum keturunan Melayu, pastinya beliau faham maksud peribahasa itu.

Jika beliau tidak faham, beliau tidak boleh berbangga sebagai anak Malaysia.

Majlis Perundingan Melayu (MPM) bukan mendesak beliau untuk berundur, sebaliknya ‘menasihatkan’ beliau untuk berundur. Beliau kini ibarat seekor kerbau membawa lumpur, semua kerbau yang lain terpalit sama.

Tindakan beliau itu telah memalukan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), membayangkan seolah-olah kerajaan PH begitu jahil dengan sejarah Negara ini.

Tindakan beliau itu juga memalukan masyarakat dan pemimpin keturunan India di negara ini yang ribuan tahun dahulu sudah sebati mengasimilasikan diri mereka dengan budaya kita rakyat Malaysia.

Saya pasti masyarakat keturunan India juga kecewa dengan tindakan beliau itu.

Malangnya hingga kini tidak berapa kerat pertubuhan masyarakat India bersuara mengecam tindakan tidak bertamadun Kula Segaran itu.

Buat sekian lamaya kita membentuk kerajaan, sejak sebelum merdeka. Sejak itu lagi kita sudah pastikan ada wakil masyarakat keturunan India dalam kerajaan.

Sejak itu lagi kita tidak pernah berdepan isu rasis seperti ini diluahkan oleh pemimpin daripada keturunan kaum India. Tapi kini ia sudah terhambur.

Bayangkan, sedangkan di dalam negeri mulut beliau sudah begitu celupar, bagaimana agaknya mulut beliau bila berada di luar negara mewakili negara.

Entah apa agaknya yang dikutuknya mengenai negara ini.

Bayangkan. belum pun 100 hari beliau berada dalam kelompok pemerintahan negara sudah begitu biadap dan rasisnya beliau, tak dapat nak dibayanagkan jika mbeliau berada di situ untuk lima tahun lagi.

Bayangkan, baru satu isu beliau bawa, kononnya untuk menjuarai masyarakat kaumnya sendiri, dalam lima tahun lagi entah berapa banyak isu yang berbaur perkauman yang akan beliau jolok untuk mengapi-apikan sentimen perkauman.

Walhal, selama ini masyarakat India berintegrasi mesra dengan lain-lain kaum di negara ini.

Beliau lupa, bahawa beliau adalah dalam kalangan pemimpin negara yang bersumpah menjaga keamanan dan ketenteraman negara.

Sewajarnya Perdana Menteri mengenakan tindakan terhadap Kula Segaran, menggunakan peruntukan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana dengan sengaja menyemarakkan sentimen kebencian antara kaum terutama antara Melayu dengan India.

Selagi beliau terus memegang jawatannya sebagai menteri selagi itulah kerajaan PH akan terus dicela oleh rakyat.

Selagi itulah juga beliau tidak akan dapat berperanan dengan selesa sebab badi dari dosa keceluparan mulut beliau itu akan terus menghantui beliau.

Beliau akan mengeret ke mana saja label bahawa beliau adalah seorang menteri yang rasis.

Pertubuhan-pertubuhan masyarakat India wajib menghukum beliau. Kerajaan PH juga wajib menghukum beliau. Jika tidak, rakyat akan menghukum kerajaan PH kerana membiarkan pemimpin yang rasis berada dalam pentadbirannya.

Masyarakat Melayu pula akan mula memandang serong kepada masyarakat India yang selama ini begitu akrab dengan kami.

Hanya kerana Kulasegaran seorang, kita semua mula berjauh hati.

Tolonglah Kulasegaran, bukan di negara tercinta ini sentimen seperti ini boleh dibiarkan untuk diapi-apikan. Sesungguhnya Kula Segaran tidak boleh lagi berada dalam kelompok pemerintahan negara.

MPM juga tidak memilih bulu. Seandainya atau ditakdirkan ada pemimpin Melayu dalam kerajaan mengeluarkan kenyataan seumpama itu, MPM juga akan menasihatkan beliau mengundurkan diri, kerana mereka yang berbudaya songsang seperti ini tidak sewajarnya berada dalam kerajaan.

Sekali lagi MPM mengulangi nasihat ini iaitu untuk Kula Segaran berundur. MPM akan terus menyatakan nasihat ini selagi beliau berdegil untuk terus berada dalam kerajaan. Jika beliau berundur, MPM menghormati pengorbanan beliau sebagai rakyat Malaysia sejati.

DATUK DR. HASAN MAD

Setiausaha Agung MPM