Yang menghairankan, mengapa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membenarkan kerja-kerja tersebut dijalankan serentak terutama di laluan utama Taman Melawati berhampiran sekolah rendah dan menengah. Ini memberikan tekanan kepada ribuan penduduk di daerah itu apatah lagi selama ini MPAJ tidak memberi perhatian kepada pengurusan aliran trafik. Saya berharap MPAJ proaktif termasuk memantau kerja-kerja Syabas yang adakalanya begitu lama.

Sebagai warga Taman Melawati, kami juga kecewa kerana Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Parlimen Gombak tidak mempedulikan masalah penduduk. Sebab itu, beliau tidak berminat untuk bertanding semula di Parlimen Gombak kerana tahu ramai pengundi tidak berpuas hati dengan perkhidmatannya. Terlalu banyak isu yang membelenggu dan diburukkan dengan kelemahan MPAJ. 


PESARA AKTIF

Taman Melawati