Moreh merujuk kepada jamuan yang dihidangkan selepas solat tarawih dan sangat terkenal dalam masyarakat Melayu Islam di negara ini sejak berpuluh-puluh tahun lalu dan sangat sinonim dengan bulan Ramadan khususnya di luar bandar.

Sejak masuknya era alaf baru, nama moreh tidak lagi masyhur seperti dahulu dan semakin dilupakan bukan sahaja di bandar tetapi juga di kawasan luar bandar.

Mungkin ada generasi baharu tidak pernah mendengar mengenainya memandangkan tradisi kini lebih meriah dengan majlis berbuka puasa yang disusuli dengan solat Maghrib berjemaah.

Bagaimanapun, dari segi konsep, tujuan dan cara pelaksanaan penyediaan juadah didapati masih sama cuma berbeza dari segi masa dan nama sahaja.

Saya sekadar mahu berkongsi pengalaman sahaja terutama dengan generasi muda tentang cara masyarakat kita menyambut Ramadan dahulu.

Seingat saya, sejak awal tahun 1950-an jamuan moreh ini sudah wujud bagi memeriahkan suasana malam-malam Ramadan.

Di samping itu, penyediaan moreh dapat mendorong ahli-ahli kariah terutama kanak-kanak supaya beramai-ramai datang ke masjid atau surau dan setia menunggu hingga selesai solat tarawih sebanyak 20 rakaat dan tiga rakaat solat witir, biasanya hingga mencecah tengah malam.

Selain tujuan tersebut, moreh juga menjadi saluran sumbangan infak daripada ahli-ahli kariah kepada masjid atau surau mengikut kemampuan masing-masing demi mendapat ganjaran pahala pada bulan Ramadan.

Sumbangan moreh ketika itu terbahagi kepada dua jenis iaitu secara berkumpulan dan perseorangan, samalah seperti konsep majlis berbuka puasa ketika ini.

Secara perseorangan biasanya dibuat oleh golongan ‘berada’ di kalangan ahli kariah di sesuatu kawasan. Jenis hidangan selalunya tidak banyak hanya antara dua atau tiga jenis seperti nasi atau mee, bihun, sedikit kuih serta minuman.

Sumbangan moreh secara kumpulan pula lazimnya merangkumi beberapa keluarga menyediakan hidangan berbeza mengikut keluarga masing-masing menjadikan juadahnya agak banyak.

Selain itu, moreh juga boleh disediakan secara gotong-royong antara anggota kariah di masjid atau surau tetapi bilangan juadahnya tidak banyak.

Berdasarkan pengalaman saya khususnya di Kedah, sekitar tahun 1950-an hingga 1980-an ahli-ahli kariah di luar bandar akan menyediakan moreh secara berkumpulan antara empat hingga lima keluarga setiap hari.

Kaedah ini membolehkan jemaah mempunyai pilihan jenis juadah mengikut kesesuaian dengan selera masing-masing tetapi mungkin ada hari tertentu bilangan juadahnya tidak banyak mengikut bilangan anggota kariah yang turut serta memasak.

Setelah selesai solat jemaah, ahli-ahli kariah yang terlibat terutamanya wanita akan bergotong-royong pula menyediakan makanan dan minuman untuk dihidangkan kepada jemaah.

Sebelum itu diadakan majlis tahlil dan doa selamat beramai-ramai yang diketuai imam masjid atau surau.

Suasana seperti ini jarang kelihatan lagi kini apatah lagi di kawasan bandar dan perumahan moden tetapi situasinya berbeza mengikut kawasan dan negeri.

Hakikat ini mungkin ada kaitan dengan perubahan sosiobudaya dan sosioekonomi masyarakat Melayu itu sendiri terutama sekali kehidupan semakin sibuk dan rumit.

SALLEH SAAD

Sungai Petani, Kedah