Umum maklum, bukan semua pelajar yang tamat pengajian mendapat pekerjaan, malah ada kalangan graduan terpaksa menganggur selama beberapa tahun, justeru kaedah ‘mendera’ graduan dengan mendesak dan ‘mengugut’ mereka agar membayar hutang pengajian pada kadar segera dilihat satu tindakan yang agak kejam pada hemat saya.

Begitupun ada graduan yang berusaha untuk berdikari dengan tidak memilih pekerjaan sehingga sanggup menjadi jurujual atau melakukan kerja-kerja part-time. Justeru dengan gaji rendah itu mereka membayar pinjaman PTPTN setakat yang termampu sahaja.

Seperkara yang menjadi musykil kepada bekas peminjam PTPTN apabila ada di antara nama mereka disenaraikan di dalam Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) biarpun bayaran pinjaman dibuat secara ansuran bulanan melalui potongan gaji. Akibatnya, mereka bukan sahaja tidak layak membuat pinjaman rumah dan kereta, bahkan disekat ke luar negara! Beberapa pertimbangan perlu dibuat PTPTN termasuk tidak terlalu ‘berkira’ dengan mengenakan kadar faedah semasa peminjam masih menganggur serta mendesak mereka membayar tunggakan hutang mencecah ribuan ringgit ekoran kadar faedah dikenakan sebelum itu telah meningkatkan pinjaman pengajian.

Mohon PTPTN dapat menggunakan budi bicara dan belas ihsan agar tidak terburu-buru mengambil tindakan sehingga boleh menjejaskan imej serta reputasi peminjam dan pada akhirnya akan menyusahkan kehidupan mereka. Sebaik-baiknya perlu ada toleransi dan rundingan di antara pihak PTPTN dan peminjam, dan bukan bertindak melulu.

SYED ABDULLAH 
SYED OSMAN JAMALULLAIL

Ampangan, Seremban