Justeru saya berpendapat Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu meneliti setiap masalah yang timbul terutama isu-isu kebajikan melibatkan anggota serta pegawai agar satu bentuk penyelesaian lebih menyeluruh dapat ditemui dan dilaksanakan.

Atas asas itu saya berpandangan pengambilan anggota serta pegawai baharu bagi menggantikan mereka yang telah bersara awal bukanlah satu bentuk penyelesaian paling efektif.

Selagi tiada satu bentuk penyelesaian yang holistik, selagi itu pihak PDRM akan berhadapan dengan masalah sama walaupun akan berlaku penggantian antara anggota dan pegawai baharu dengan mereka yang menamatkan perkhidmatan lebih awal.

Ini kerana anggota dan pegawai polis baharu tetap akan berhadapan dengan tekanan kerja luar biasa. Dalam pada itu rata-rata pengguna media sosial mahu aspek kebajikan melibatkan anggota dan pegawai polis dapat dipertingkatkan lagi antaranya berhubung dengan kuarters yang disediakan.

Tidak dinafikan terdapat kuarters yang disediakan untuk anggota dan pegawai polis di negara ini tidak diselenggara dengan baik bahkan ada di antara mereka terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membaiki masalah seperti paip dan sinki rosak, bumbung bocor, lif rosak dan banyak lagi.

Anggota dan pegawai polis juga terpaksa bekerja lebih masa sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga. Lebih menyedihkan lagi apabila mereka tidak mendapat imbuhan yang sewajarnya.

Seharusnya masalah seperti ini dipandang serius oleh kerajaan bagi memastikan masalah peningkatan permohonan persaraan awal dalam kalangan anggota polis dapat dikurangkan dan seterusnya melahirkan anggota polis yang berkaliber dan berkualiti.

LAILY ALIZAM

Melaka