Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Minyak masak disorok atau diborong?

MASALAH bekalan minyak masak berulang lagi! Janji tinggal janji dan alasan klise diulang tayang bagi menutup ketidakcekapan pihak berwajib menjamin bekalan secukupnya sampai kepada pengguna.

Pelik sungguh bila musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Thaipusam dijadikan alasan tiada bekalan minyak peket satu kilogram, mungkin disebabkan semua pekerja dan pemilik kilang membungkus minyak masak sedang bercuti.

Namun, rata-rata pekerja yang menguruskan penghantaran bekalan adalah orang Melayu yang tidak menyambut perayaan tersebut, kecuali jika kilang tempat mereka bekerja tutup sepenuhnya sepanjang musim perayaan ini.

Jika faktor bekalan, kenapa botol lima dan 10 kilogram yang tiada subsidi tidak pernah ada masalah? Isunya bukan bekalan tidak sampai atau disorok tetapi penjualan tidak sampai kepada golongan sasar.

Sebenarnya kita lupa tujuan minyak peket ini masih diberikan subsidi adalah untuk dijual dalam jumlah kecil kepada golongan sasar iaitu rakyat berpendapatan rendah mahupun sederhana rendah.

Minyak peket ini bukannya untuk orang kaya, pertengahan mewah mahupun golongan peniaga dan warga asing yang membanjiri negara ini.

Cuba lihat di pasar raya mahupun kedai runcit bila ada stok minyak masak peket satu kilogram, rata-rata yang ‘memborong habis’ adalah golongan sederhana mewah, kaya dan peniaga.

Akhirnya, mereka yang kurang mampu pula tiada pilihan dan terpaksa membeli minyak masak tidak bersubsidi.

Saya sebenarnya naik muak melihat golongan berkemampuan dan mewah ini mengambil kesempatan ke atas bantuan yang disasarkan kepada kumpulan bawahan 40 peratus di negara ini.

Lihat sahaja semasa minyak petrol diberi subsidi dahulu, yang paling banyak ‘telan’ minyak adalah kereta-kereta mewah sedangkan orang miskin cuma menggunakan motosikal kapcai dengan tangki diisi penuh sekitar RM5 sahaja.

Bila ditarik subsidi, yang miskin terasa juga tetapi yang paling bising adalah pemandu kereta-kereta mewah. Begitu juga dengan minyak masak, yang paling banyak ‘telan’ adalah golongan tidak layak.

Sewajarnya kerajaan menilai semula kaedah jualan minyak masak peket satu kilogram ini ataupun mansuhkan terus subsidinya kerana tidak sampai kepada golongan sasar.

Jika dimansuhkan, jumlah subsidi itu boleh ditolak kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sememangnya menjadi golongan sasar untuk subsidi minyak masak tersebut.

Saya berani jamin mereka yang paling bising jika subsidi peket satu kilogram ini dimansuhkan adalah mereka yang tidak layak menerima BR1M iaitu golongan berkemampuan membayar mengikut harga pasaran.

Namun, jika mahu diteruskan subsidi minyak masak, saya cadangkan kerajaan mengenakan had pembelian contohnya maksimum 10 peket bagi seorang dewasa dan dua peket untuk kanak-kanak.

Ingat, minyak masak peket ini adalah untuk orang susah dan miskin, bukannya untuk orang yang mampu makan di kedai setiap hari mahupun peniaga restoran dan gerai tepi jalan apatah lagi warga asing.

Jika peniaga memerlukan bantuan dari segi harga minyak masak, mereka perlu berbincang dengan kementerian berwajib untuk mendapatkan bekalan bersubsidi khas bagi golongan peniaga dan bukannya mengambil hak subsidi orang miskin.

Jangan pula diulang ‘ugutan’ naikkan harga makanan kerana rata-rata peniaga sudah menaikkan harga makanan walaupun selama ini masih menggunakan minyak masak bersubsidi.

Saya selaku penerima BR1M lebih suka jika subsidi minyak masak ini dihapuskan kerana amat sukar untuk menghalang orang kaya, peniaga mahupun warga asing daripada mengambil ‘hak kami’.

Jika mereka yang tidak layak menerima BR1M berasa cadangan ini tidak adil, itulah perasaan orang miskin bila melihat orang kaya mengangkut berpeket-peket minyak masak satu kilogram ke dalam kereta mewah mereka.

Terpulang kepada kerajaan menilai tetapi jelas sekali minyak masak sama seperti minyak petrol, penjualannya tidak boleh dikawal dan akhirnya subsidi tidak sampai kepada golongan sasar.

WARGA BR1M

Segambut, Kuala Lumpur

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain