Antara pembaharuan yang sedang dibuat ialah menggalakkan semua pelanggan KWSP mendaftar i-Akaun sebelum memohon pengeluaran, mendapatkan penyata dan sebagainya.

Apa yang saya lihat pada 29 Januari lalu di Pejabat KWSP Seremban, kios yang berada di luar pintu masuk pejabat itu bagi kemudahan pencarum mendapatkan penyata, ditutup semata-mata untuk menggalakkan pelanggan mendaftar dengan i-Akaun terlebih dahulu.

Oleh kerana bilangan mesin terhad, ramai pelanggan berpusu-pusu berbaris untuk menggunakan kios yang berada di dalam pejabat tanpa memahami prosedur bahawa mereka perlu mendaftar i-Akaun terlebih dahulu.

Kesan kegagalan khidmat nasihat secara berterusan daripada kakitangan KWSP, pelanggan yang berbaris mula keluar masuk barisan serta gelisah setelah gagal untuk mendapatkan penyata di kios kerana mereka dikesan tidak mendaftar i-Akaun.

Lebih malangnya, warga emas yang berbaris tidak diberi bantuan sama ada mewujudkan lorong khas kepada mereka termasuk wanita hamil dan orang kurang upaya (OKU).

Konsep baharu yang diperkenalkan dengan disediakan booth bagi membolehkan pelanggan berdiri ketika berurusan dengan kakitangan KWSP memang nampak moden tetapi konsep tersebut tidak mesra kepada warga emas dan OKU.

Oleh itu, disarankan pihak pengurusan KWSP mengekalkan ruang duduk bersama kakitangan (kaunter) untuk warga 
emas dan OKU supaya urusan mereka boleh dipercepatkan serta tidak memenatkan.

Secara peribadi saya berpendapat, KWSP perlu memberi pengecualian kepada warga emas daripada mendaftar i-Akaun kerana rata-rata mereka tidak lagi menggunakan kebanyakan kemudahan yang ditawarkan.

Kios yang disekat fungsinya juga seharusnya boleh digunakan oleh golongan warga emas walaupun mereka tidak mendaftar i-Akaun seperti sebelum ini.

Inisiatif ini dapat memaksimumkan penggunaan kios yang ada dalam senarai aset KWSP bagi mengelakkan pembaziran aset-aset agensi itu.

TENGKU MAN
Senawang, Negeri Sembilan