Sesungguhnya roh kepada setiap sambutan Hari Kebangsaan adalah semangat patriotisme. Dengan adanya semangat ini setiap daripada kita sanggup berkorban dan mempertahankan negara ini daripada ancaman musuh.

Bukan itu sahaja, bahkan melalui semangat patriotisme ini juga, semua rakyat tidak kira kaum dan keturunan sanggup bekerja keras dan berusaha gigih untuk membangun serta memajukan negara dalam semua aspek kehidupan.

Maknanya, semangat patriotisme ini mampu menjadi tenaga penggerak untuk kita mempertingkat dan mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran agar Malaysia satu hari nanti setanding dengan negara-negara maju. Jangan lupa bahawa hampir semua negara maju dibangunkan atas semangat patriotisme dan nasionalisme yang tinggi.

Dalam konteks negara bangsa pula, semangat patriotisme ini mampu menjadi pendorong kepada setiap rakyat negara ini untuk sama-sama membangunkan Malaysia sebagai salah sebuah negara ulung di rantau ini.

Bahkan, ada yang menyifatkan semangat patriotisme itu sebagai nadi yang perlu dipupuk, disemai dan digarap demi masa depan Malaysia yang lebih cerah. Tanpa semangat ini segala perancangan, misi serta visi kerajaan tidak akan tercapai.

Perlu kita akui melalui semangat patriotisme sahaja akan menerbitkan rasa cinta mendalam seseorang itu kepada negaranya sendiri. Justeru tidak hairanlah, faktor keupayaan negara-negara maju sama ada di Barat mahupun Timur terus kekal menjadi negara maju sehingga saat ini adalah disebabkan semangat patriotisme yang ada dalam kalangan rakyat mereka.

Dengan mengambil kira kepentingan serta peranan semangat tersebut, setiap rakyat Malaysia perlu mempunyai semangat patriotisme yang tinggi dalam usaha memastikan Wawasan 2020 dalam tempoh tiga tahun lagi dan Transformasi Nasional 2050 (TN50) mampu dicapai.

Di sudut lain pula, semangat patriotisme seharusnya menjadi pendorong untuk kita sentiasa mengingati tentang sejarah masa lampau, harapan kini dan harapan masa depan negara. Percayalah, melalui proses ini terutama dorongan mengimbau kembali sejarah, semangat patriotisme kita akan sentiasa berkembang dari semasa ke semasa sehingga melahirkan rasa kebersamaan.

Walaupun masyarakat kita bersifat heterogen dengan kepelbagaian kaum, etnik, agama dan asal usul, namun dengan wujudnya perasaan kebersamaan yang tinggi sudah tentu akan membangkitkan kesedaran nasional dalam satu kesatuan wilayah geopolitik yang dinamakan Malaysia.

Dalam perkembangan sama, rakyat Malaysia yang bersifat majmuk sentiasa diikat dengan beberapa ciri antaranya mampu memahami dan bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik. Bagi sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum, bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa perantara dan bahasa penyatuan.

Penghayatan terhadap Rukun Negara juga mampu membentuk jati diri kenegaraan bangsa Malaysia. Lima prinsip yang digariskan dalam ideologi nasional (Rukun Negara) mampu membina watak dan jati diri bangsa Malaysia, sekali gus membina semangat patriotisme berasaskan jati diri bangsa.

Sehubungan itu bangsa Malaysia mesti menghayati dan memahami kembali ikrar di dalam Rukun Negara. Di dalam ikrar itu kita berjanji akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha bagi mencapai hasrat negara seperti digariskan di bawah lima objektif Rukun Negara.

Kesimpulannya, patriotisme merupakan nilai penting yang seharusnya menjadi jati diri rakyat Malaysia. Rasa cinta terhadap tanah air (patriotisme) ini merupakan conditio sine quanon iaitu keadaan yang harus ada dalam minda dan jiwa setiap rakyat Malaysia. Perkara itu penting bagi memastikan keberadaan negara bangsa ini tidak diancam atau dimusnahkan oleh pihak musuh. Semangat patriotisme yang kuat tidak akan mengizinkan musuh-musuh menginjak-injak atau memperlekeh kedaulatan, hak dan kepentingan negara.

MOHD. AYOP ABD. RAZID

Selayang Bharu, Selangor