Ia diadakan sepanjang bulan Syawal untuk meningkatkan ketakwaan di sisi Allah.

Saya menyokong pendapat Mufti Perlis agar ibadat sunat ini dilakukan pada waktu yang sesuai dengan mengelakkan hari-hari rumah terbuka yang dianjurkan oleh kaum keluarga atau sahabat-handai. Biarlah jadual kita mengerjakan puasa tersebut tidak bertembung dengan jadual jemputan rumah terbuka hari raya .

Saya berpandangan puasa sunat tersebut eloklah dilakukan pada hari-hari bekerja bukannya cuti hujung minggu yang padat dengan jemputan rumah terbuka.

Misalnya bagi negeri Terengganu, Kelantan atau Johor, puasa sunat boleh dilakukan pada hari Ahad sehingga Khamis iaitu hari bekerja normal sementara hari bekerja di Pantai Barat ialah Isnin sehingga Jumaat. Namun begitu, terdapat juga situasi apabila jemputan rumah terbuka dilakukan pada hari bekerja normal.

Dalam hal ini, seseorang itu boleh memilih hari-hari lain yang tidak terikat dengan sambutan rumah terbuka. Bagi mengelakkan terlepas melaksanakan puasa tersebut, teliti dan semak jadual harian anda dengan menetapkan tarikh yang sesuai untuk melengkapkan puasa Syawal memandangkan bulan Islam tersebut akan berakhir tidak lama lagi.

Apa pun pilihan, mengerjakan puasa sunat amatlah dituntut kerana puasa tersebut dapat menampung kekurangan puasa Ramadan yang dilakukan sebelum ini. Ganjaran melaksanakan puasa ini seolah-oleh melaksanakan ibadat puasa selama setahun.

Sama-samalah kita mengambil kesempatan melaksanakan ibadat yang amat dituntut ini sebagai umat yang bersyukur dengan rezeki yang dianugerahkan Ilahi selama ini.

HABIBULLAH

Putrajaya