Mat Sabu juga menyatakan hutang negara sebenar harus disembunyikan. Jika diumumkan, negara akan jatuh muflis seperti Greece.

Menteri Pertahanan itu perlu sedar, sekarang ini beliau sudah menjadi menteri dan bukan lagi penceramah politik seperti dahulu. Bercakap mesti ada fakta dan menyakinkan.

Kenyataan berhubung hutang negara umpama ‘air liur’ yang diluahkan oleh beberapa oleh menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bertujuan menutup kelemahan sendiri.

Rakyat sebenarnya sudah muak mendengar isu ini tanpa fakta dan bukti jelas.

Ingatlah, rakyat tidak bodoh dan pandai menilai serta mendapatkan maklumat sahih daripada pelbagai sumber lain.

Kecenderungan kerajaan PH menjual aset negara yang dikatakan ‘bukan strategik’ sepatutnya tidak berlaku.

Baru enam bulan menjadi kerajaan sudah merancang mahu jual itu dan ini.

Apakah dengan menjual segala aset negara dapat menyelesaikan masalah hutang? Kalau hutang peribadi, bolehlah jual apa yang ada. Hutang negara perlu diselesaikan dengan cara yang lebih bijaksana kerana ia hutang jangka panjang yang sememangnya amalan biasa perkembangan ekonomi global.

Sesiapa pun menjadi Perdana Menteri tetap berhadapan dengan hutang. Sedikit atau banyak, perlu jujur. Buktikan. Rakyat jangan dibohongi.

Mentadbir sebuah kerajaan samalah seperti mentadbir sebuah rumah tangga. Perdana Menteri adalah bapa. Timbalan Perdana Menteri, ibu. Menteri-menteri Kabinet pula anak-anaknya.

Kalau ramai anak dan belum berakal, bapa dan ibu terpaksa bekerja keras.

Apabila anak-anak sudah besar dan berakal terutama anak sulung, sama-samalah berusaha untuk meningkatkan ekonomi keluarga. Bukan jual semua harta pusaka peninggalan datuk nenek.

Mana-mana menteri yang merasa dirinya ‘anak sulung’, wajarlah mengajar ‘adik-adik’ bercakap jujur.

CUCU TOK WOH

Pahang