Permintaan beliau supaya pengguna ‘bijak membuat pilihan’ susulan harga produk daging mengikut permintaan semasa sungguh mengecewakan. Ia seolah-olah tangan kerajaan terikat dan peniaga bebas berbuat sesuka hati selagi tidak diboikot orang ramai.

Jika tiada kuasa dalam bab harga barang, apa guna ada menteri? Adakah menteri dan kerajaan akan sokong jika pengguna lancarkan boikot besar-besaran terhadap produk mahal?

Tolong berpijak di bumi nyata dan lihat kesengsaraan rakyat khususnya pengundi yang menaikkan ahli politik sehingga menjadi menteri. Janganlah kerana menteri makan minum ditanggung, tidak pedulikan kami yang terpaksa bayar sendiri makan minum harian.

Sedangkan plastik bungkus makanan pun kami perlu bayar, janganlah anggota kerajaan lupa daratan selepas merasa daging Wagyu percuma di Parlimen. Kalau rasa diri tidak mampu bela nasib pengguna atau cuma mahu bela kepentingan peniaga, elok serah jawatan kepada orang lain.

KAKI TAPAU

Ampang