Belum sempat bernafas, mereka digegarkan pula de­ngan rancangan besar hartawan dari Sarawak, Tan Sri Ting Pek Khiing yang berhasrat membangunkan Bandar Baharu Langkawi bernilai RM30 bilion, melibatkan lebih 30,000 kondominium mewah, zon perdagangan, dermaga bot mewah dan tempat persinggahan kapal pelancongan besar. Bandar ini sahaja jika siap dibina, boleh dihuni oleh komuniti melebihi daripada penduduk tempatan Langkawi kini iaitu sekitar 120,000 orang. Anehnya, ada juga segelintir komuniti berpendapat wajar bandar ini dibangunkan asalkan disediakan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Apabila kerajaan memperkenalkan Akta Kualiti Alam Sekeliling pada 1974, bersamanya diperkenalkan peraturan EIA. Ini satu tindakan berpandangan jauh ketika itu khususnya bagi memastikan projek pembangunan kurang menjejas kualiti dan perkhidmatan alam sekitar. EIA masih menjadi alat penting untuk mengawal impak projek mega terhadap kualiti alam sekitar negara ini.

Ketika itu, masyarakat berpendapat dalam keghairahan untuk membangun dan menjana kekayaan negara, alam sekitar sering terabai. Oleh itu, penilaian impak pemba­ngunan terhadap kualiti alam sekitar memerlukan perhatian kritikal dan mekanisme EIA mampu menjadi alat mengimbangi keperluan pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar.

Daripada perspektif ekonomi, perhatian umumnya diberikan kepada model perniagaan, analisis pasaran dan permintaan, kos pembinaan, jangkaan keuntungan dan strategi pengurusan. Faedah kepada negara dilihat daripada perspektif pendapatan daripada cukai dan peluang pekerjaan. Projek berskala besar lazimnya memberi pula­ngan besar kepada individu atau kelompok kecil pemaju dan pelabur dalam atau luar negara. Analisis ekonomi ­daripada aspek kelestarian amat berbeza dan jarang diberikan perhatian serius. Antaranya, apakah faedah dan peluang perniagaan komuniti setempat, kos jangka panjang pembangunan termasuk kehilangan perkhidmatan alam sekitar dan ruang rekreasi penduduk tempatan dan pemindahan kemahiran serta teknologi kepada pekerja tempatan.

Perspektif kesejahteraan sosial komuniti tempatan juga jarang diberikan perhatian kecuali isu alam sekitar seperti pencemaran alam. Masyarakat setempat adalah khalifah alam, mereka membina kehidupan di daerahnya, bercucuk tanam serta gelanggang mencari peluang pekerjaan, dan jika berlaku impak negatif, merekalah barisan hadapan yang terbabit dengan musibahnya. Oleh itu, sebarang projek pembangunan, pandangan dan keluhan mereka perlu di dengar, pada masa sama, peluang pertama pertumbuhan ekonomi perlu diberikan kepada mereka.

Langkawi terperangkap dengan permintaan memba­ngun projek mega dan wawasan kelestarian anjuran komuniti. Pada hakikatnya, kita perlu berpegang kepada tiga perkara asas yang menjadi ciri keistimewaan kepulauan ini. Pertama, Langkawi ialah kepulauan yang sangat kecil dan alam sekitarnya sangat sensitif. Perubahan melampaui keupayaan tampungan akan menyebabkan kemusnahan berkekalan. Langkawi istimewa kerana warisan alam, terutamanya kepelbagaian biologi, geowarisan dan keindahan landskap. Oleh itu, pelan pembangunan perlu memberikan perhatian tinggi kepada usaha pemuliharan warisan alam dan penggunaan sumber asli secara lestari.

Kedua, pihak berkepentingan utama ialah penduduk tempatan, pemain pelancongan yang telah menetap di Langkawi dan pelancong atau tetamu kehormat. Komuniti tempatan ialah khalifah warisan tempatan sementara agensi pelaksana hanya mengurus bagi pihak mereka. Oleh itu, pendekatan utama dalam pembangunan ialah memperkasa mereka daripada perspektif ekonomi, pendidikan warisan dan alam sekitar serta kebajikan umum. Mereka perlu dilibatkan untuk memperkenalkan warisan, budaya dan tradisi tempatan bagi membina rasa kesepu­nyaan dan kebanggaan terhadap wilayahnya.

Ketiga, Langkawi ialah destinasi pelancongan antarabangsa terpenting negara. Pada masa ini hampir 60% pelancong ke Langkawi datangnya dari luar negara. ­Keperluan prasarana asas untuk kelestarian pelancongan perlu diutamakan. Ini meliputi kemudahan asas seperti pengangkutan, penginapan, makanan, prasarana bersih dan selamat, sistem pengurusan sisa pepejal dan kumbahan. Pembangunan lebih mendesak ialah pelbagai produk pelancongan, terutamanya berkaitan pelancongan alam dan rekreasi, pelancongan ilmu dan kemudahan pelancong tempatan.

Kita perlu bersyukur apabila Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperkenalkan wawasan Geopark pada 2006. Apabila Langkawi diisytihar sebagai UNESCO Global Geopark pada 2007, dunia pula mengiktiraf kita dengan jenama kelestarian berkualiti. Oleh itu, Pelan Pembangunan Langkawi Geopark seharusnya diintegrasi bagi memperkukuhkan Blueprint Pembangunan Langkawi (2017-2021).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Langkawi UNESCO Global Geopark pastinya berupaya melaksanakan wawasan kelestarian pembangunan Langkawi seperti diidamkan oleh komuniti setempat dan pelancong.

PROF. EMERITUS DATUK IBRAHIM KOMOO ialah Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Penasihat Langkawi UNESCO Global Geopark.