Kita selalu mendengar atau membaca kisah sedih kanak-kanak menjadi mangsa penderaan ibu bapa, ahli keluarga malah ada juga menjadi mangsa guru melepas geram.

Ada yang dirotan sehingga lebam, ditampar sehingga menyebabkan kerosakan saraf pendengaran dan banyak lagi tindakan yang tidak wajar dilakukan.

Soalan yang terlintas di fikiran kita, mengapakah seseorang individu dewasa yang waras tergamak mendera kanak-kanak kecil?

Dalam konteks pendidikan awal kanak-kanak, setiap kesalahan seharusnya dihukum supaya kesalahan itu tidak diulang.

Ini membantu pemikiran kanak-kanak untuk membezakan yang baik dan buruk. Keupayaan kanak-kanak juga berbeza berdasarkan umur, kematangan, daya pemikiran dan didikan keluarga yang setiap satu daripadanya memainkan peranan penting dalam pembesarannya.

Untuk melatih mereka dengan nilai-nilai murni, hukuman juga menjadi salah satu medium yang boleh digunakan tetapi harus diingat bahawa ada tahap batasan untuk hukuman yang diberikan.

Hukuman yang mendatangkan kecederaan kepada fizikal atau mental adalah sangat ditegah.

Dalam ajaran Islam juga telah diletakkan garis panduan untuk menghukum anak-anak yang membuat kesalahan.

Contohnya, merotan di betis dengan kadar sederhana untuk mengelakkan mereka merasa sakit kerana tujuan memukul adalah mengajar bukan mencederakan.

Ini adalah sangat penting untuk anak-anak tahu kesalahan yang mereka lakukan, bukannya untuk mendera.

Sebolehnya sebelum memberi hukuman terhadap anak-anak, ibu bapa perlu menjelaskan terlebih dahulu kesalahan mereka dan memberi peluang kepada anak membela diri.

Oleh itu, sebagai ibu bapa mahupun pendidik yang prihatin, adalah sangat penting untuk mempunyai komunikasi yang baik dengan anak-anak kecil, bukannya mengikut amarah atau emosi.

Seperti kata pepatah, yang baik dijadikan teladan yang buruk dijadikan sempadan. Banyakkan bersabar bila berdepan dengan kerenah anak-anak kecil, jangan kerana mereka kecil kita buat sesuka hati. Anak kecil itu amanah Allah dan bukannya tempat melepas geram.