Selepas 14 nyawa melayang apaapabila sebuah bas ekspres terbabas pada hujung tahun lalu, kini enam sekeluarga maut dihempap treler 10 tan di Hulu Selangor.

Kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan melawat kubur nenek moyang mereka di Bidor, Perak sempena Festival Cheng Meng sebelum terlibat dalam kemalangan pada pukul 7.40 pagi kelmarin berhampiran susur keluar Ulu Bernam.

Jangankan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki malahan kereta kebal pun belum tentu dapat bertahan dihempap treler 10 tan.

Tidak dapat dibayangkan kejutan dan trauma ahli keluarga mangsa mendapat khabar ahli keluarga yang tidak muncul selepas beberapa jam menunggu rupanya sudah menemui ajal di jalan raya.

Pelbagai spekulasi timbul susulan kemalangan itu termasuk alasan biasa melibatkan memandu laju, penggunaan tayar celup, muatan berlebihan, lori tidak diselenggara atau diperiksa secara berkala, lori uzur usia lebih 25 tahun mahupun kesilapan pemandu.

Semua ini kini dalam siasatan polis serta agensi penguatkuasa lain dan saya pun tidak mahu memanjangkan spekulasi tanpa bukti.

Apa yang saya mahu bangkitkan sudah diulang berpuluh mahupun beratus kali tetapi adat perundangan dan penguatkuasaan di negara ini mengambil masa terlalu lama untuk berubah dan ditambah baik.

Sudah menjadi klise basi apabila menyebut tentang bas dan lori masih dipandu laju di lebuh raya khususnya ketika turun bukit dan menjadi penghalang lalu lintas apabila memandu terlalu perlahan menaiki bukit khususnya yang membawa muatan berlebihan.

Amat menyedihkan apabila antara agensi berwajib masih tiada perkongsian data, menyebabkan pengusaha dan pemandu yang bermasalah masih boleh beroperasi serta memandu di jalan raya.

Saya memuji usaha Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengurangkan birokrasi dan meningkatkan kerjasama antara agensi tetapi nampaknya perubahan yang diharapkan bergerak terlalu perlahan.

Enam sekeluarga mewakili tiga generasi hilang nyawa dan kemungkinan keluarga mereka sudah kehilangan waris, itu memang tidak dapat diganti lagi walau apa dilakukan tetapi sekurang-kurangnya pastikan kejadian serupa tidak berulang.

Dalam kes sebegini, saya berpendapat pihak berkuasa cuma lemah dari segi penguatkuasaan dan terikat dengan peruntukan undang-undang sedia ada sebaliknya punca utama adalah pengusaha syarikat bas dan lori yang kerap mengambil jalan mudah untuk mengurangkan kos dengan sasaran mencapai keuntungan paling maksimum.

Ini bermakna menggunakan tayar paling murah seperti tayar celup, mengambil muatan berlebihan, melengahkan pemeriksaan dan penyelenggaraan, menggunakan lori atau bas yang uzur walaupun banyak rekod kerosakan malah menggaji pemandu bermasalah khususnya berkaitan dadah, alkohol dan memandu secara berbahaya.

Kebiasaannya apabila berlaku kemalangan melibatkan kenderaan berat, pemandu dijadikan pesalah utama sedangkan majikan mereka terlepas daripada sebarang hukuman.

Majikan mereka boleh sahaja membuka syarikat baharu menggunakan nama berbeza, didaftar bawah nama ahli keluarga lain dan cuma perlu mengecat semula barisan bas atau lori mereka.

Akhirnya masalah tidak selesai dan pengusaha yang sama masih lagi beroperasi di jalan dan lebuh raya kita, mencari jalan pintas termasuk dalam hal keselamatan atau lopong dalam sistem perundangan untuk menjimatkan kos dan meningkatkan keuntungan.

Semua pihak berkuasa tidak kira SPAD, Jabatan Pengangkutan Jalan, polis trafik dan Kementerian Pengangkutan perlu wujudkan satu mekanisme atau sistem memastikan pemilik iaitu pengusaha bas dan lori tidak terlepas jika berlaku kemalangan mahupun melanggar peraturan.

Jika pemandu bersalah boleh disenarai hitam, maka majikan mereka juga sama perlu disenarai hitam tetapi perlu dipastikan mereka tidak meneruskan operasi menggunakan nama orang lain pula.

Tindakan ini bukannya mahu menyekat rezeki tetapi bagi mengelakkan mereka yang terbukti penipu, tidak amanah, tamak dan sanggup menggadai nyawa orang lain demi keuntungan daripada terus berada dalam industri pengangkutan. Biarlah mereka mencari rezeki dalam industri lain.

Jika kehilangan satu nyawa sudah dikira kehilangan besar, apatah lagi kehilangan tiga generasi dalam satu keluarga.

Laksanakan perubahan dengan segera atau beri kuasa kepada orang lain yang boleh bawa perubahan tersebut jika rasa diri sendiri tidak mampu melakukannya.

AIMAN KISAH

Johor Bahru