Antara faktor utama mendorong mahasiswa melakukan kerja sambilan adalah kerana kos sara hidup yang tinggi. Walaupun kerajaan telah menawarkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), mungkin ia masih tidak dapat menampung kos sara hidup mereka.

Mereka nekad menceburi bidang pekerjaan lebih awal kerana serba sedikit dapat meringankan beban kewangan diri dan keluarga. Pada masa sama, mereka dapat belajar berdikari, menimba pengalaman bekerja dan menabung.

Selain memperoleh pendapatan sampingan, bekerja separuh masa dapat memberi peluang merasai pengalaman bekerja sebelum memasuki alam pekerjaan sebenar. Hal ini kerana alam pekerjaan pada masa kini sangat menitikberatkan ‘soft skill’ dan pengalaman bekerja.

Pengalaman yang diperoleh dapat melatih mahasiswa agar bersiap sedia dari segi fizikal dan mental.

Walau bagaimanapun, mahasiswa yang masih belajar harus bijak membahagikan masa supaya kerja sambilan itu tidak mengganggu sesi kuliah dan aktiviti kokurikulum.

Terdapat juga kesan buruk bagi mahasiswa yang melakukan kerja sambilan ini yang mana akan menyebabkan mereka leka dengan pekerjaan dan secara tidak langsung mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar.

Secara umumnya, jika mahasiswa itu gagal dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan, maka risiko untuk gagal dalam pelajaran kemungkinan adalah lebih tinggi.

Tambahan pula, mahasiswa itu akan berasa tertekan akibat tidak pandai membahagikan masa antara belajar dan bekerja sehingga boleh mengakibatkan kemurungan. Oleh itu, mahasiswa perlu mempunyai persediaan fizikal dan mental sebelum membuat keputusan untuk melakukan kerja sambilan.

Sekiranya mahasiswa itu mampu untuk menggalas dua tanggungjawab ini dengan baik, maka tiada risiko yang perlu ditanggung tetapi mereka perlu sedar akan kemampuan diri serta tahu kekuatan dan kekurangan diri dalam mengimbangi antara belajar dan bekerja supaya tidak menyesal di kemudian hari.

ZAIRATUL 
BANISA ZAINUDDIN