Persoalannya kini apabila sesebuah parti itu diberi kepercayaan dan mandat oleh rakyat untuk mentadbir urus negara, adakah ia sama dengan apa yang dijanjikan sebelumnya? Sama-samalah kita sebagai rakyat menilaikannya.

Apabila seseorang yang beragama Islam berjanji dan apabila ia berdusta, apakah jawapannya? Menabur janji yang sememangnya ada niat untuk menipu di kemudian hari.

“Sesungguhnya Allah maha melihat keadaan hamba-hambanya. Dengan keikhlasannya dan dengan penyerahan diri kita kepada Allah,” surah Ghafir ayat 44 dan 45.

“Ingatlah pada hari kiamat yang padanya ada muka-muka menjadi putih berseri, dan ada muka-muka yang menjadi hitam legam,” - surah Ali Imran ayat 106.

Kepada ahli politik, tanyalah diri sendiri, apakah perbuatan dan niat kita sebenarnya? Benar-benar hendak membela rakyat atau sebaliknya mempunyai sifat dendam?

Mengejar pangkat dan mengharapkan sanjungan atau perasaan riak berputik di dalam kalbu? Tanyalah hati dan iman yang masih ada lagi di dalam diri kita yang bernama manusia.

Seseorang manusia yang mempunyai sifat pendendam dan pemarah tidak layak untuk diangkat menjadi ketua atau pemimpin. Bacalah buku ciri-ciri seorang pemimpin.

Alangkah rugi dan tertipunya rakyat apabila memilih calon yang melompat parti, rakyat yang memangkah calon pada PRU-14 dan memberi kepercayaan mandat, tiba-tiba calon tersebut melompat parti.

Kalaulah calon tersebut awal-awal lagi menyatakan hendak lompat parti, sudah tentu calon tersebut tidak akan mendapat kemenangan.

Rakyat Malaysia sekalian, bukalah mata dan minda anda. Inikah yang dikatakan hendak membela rakyat atau menjaga kepentingan diri sendiri? Bermacam-macam alasan yang diberi tetapi hakikatnya jelas, pangkat dan kepentingan diri sendiri yang diperjuangkan.

Kepada ‘tukang-tukang’ yang suka membuat fitnah dan menyebarkan keburukan orang lain, bertaubatlah selagi kita berfikiran waras dan beragama Islam. Adakah kita melihat sendiri keburukan yang orang lain itu buat atau kita sengaja mengada-adakannya?

Rasulullah bersabda; “Allah tidak mensia-siakan perbuatan baik orang beriman kerana ia akan dibalas baik di dunia dan diberi pahala di akhirat kelak.”

“Orang yang bukan Islam pula akan diberi rezeki di dunia sebagai balasan kepada perkara-perkara baik yang dikerjakan. Tetapi apabila sampai di akhirat tidak ada lagi perkara baik yang dapat dibalas.”

Kalaulah tuan-tuan berada di tempat kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan, apa akan dijawab kepada anak dan isteri kerana hidup akan diteruskan selagi belum kiamat.

Takkan umur mencecah 49 tahun kerja dah ditamatkan kerana fahaman dan sokongan yang berbeza? Siapa yang patut disalahkan, pemimpin atau pengundi? Tak masuk akal umur mencecah 50-an kena cari kerja buruh binaan. Lainlah orang-orang yang mempunyai wang dan harta yang bertimbun-timbun.

Sudahlah dalam bulan Ramadan, lepas itu nak menyambut hari raya pula. Semuanya memerlukan wang dan pendapatan. Jawabnya, anak-anak mereka menyambut hari raya tahun ini dalam kedukaan.

Siapakah yang bersalah, pekerja, pengundi, pemimpin, pendendam atau anak-anak muda di perantauan? Kejujuran dan keamanan berada di dalam hati tetapi Allah mengetahui segala-galanya.

HAMBA ALLAH

Kelantan